
Perdana menteri berkata, Dr Mahathir tidak sepatutnya menggunakan kata-kata kesat terhadap beliau, lebih-lebih lagi menyentuh keturunannya daripada Bugis.
“Saya kena bawa politik bermoral yang ada tatasusilanya, sopan santunnya. Saya lebih suka kalau nak pukul, sindiran, cuit-cuit…kita tak pukul cara kasar, cara ‘brutal’, biadab tak boleh.
“Sebab itu jangan ajar rakyat Malaysia politik macam ini. Kita ini orang tua, mesti tunjuk teladan baik. Berbeza pendapat tidak mengapa, tidak setuju dari segi dasar tidak mengapa, bagi ‘point’, bagi fakta, tapi jangan burukkan peribadi orang.
“Tidak sepatutnya bekas pemimpin negara cakap macam itu. Saya tidak mahu anak-anak kita orang muda belajar politik ini. Kita nak bina negara berjaya…sudah cukup konflik dalam dunia ini,” katanya ketika berucap di Konvensyen Media Sosial Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.
Pada 14 Oktober lalu, pengerusi Pakatan Harapan itu ketika berucap pada Himpunan “Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi” di Petaling Jaya menyifatkan Najib sebagai “keturunan lanun bugis”.
Kenyataan itu mengundang bantahan Persatuan Perpaduan Rumpus Bugis Melayu Malaysia, namun Dr Mahathir menafikan beliau berniat menghina semua keturunan Bugis.
Selang 3 hari kemudian, 2 laporan polis dibuat Persatuan Bugis Johor berhubung kenyataan bekas perdana menteri itu.
Khamis lalu, Dewan di-Raja Selangor berkata, siasatan dan tindakan undang-undang di bawah Akta Hasutan 1948 atau apa jua undang-undang berkaitan wajar diambil terhadap Dr Mahathir kerana kenyataannya menyentuh keturunan Bugis.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam kenyataan Khamis lalu berkata, selepas berbincang dengan ahli Dewan di-Raja Selangor, memandang serius, murka dan amat kecewa dengan petikan ucapan Dr Mahathir itu yang dilihat cuba menghasut rakyat untuk membenci, menghina dan memandang serong terhadap bangsa Bugis.
Terdahulu, Najib dalam ucapannya menyifatkan Bugis sebagai pejuang yang turut ditakuti orang Belanda.
“Bugis pejuang, sampai orang Belanda takut kepada keturunan Bugis.
“Janganlah suruh saya balik….saya tak suruh dia (Dr Mahathir) balik mana tempat itu. Saya tidak suruh sebab saya tak mahu ‘stoop to his level’.”
Pada 30 Julai lalu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyerang asal usul Dr Mahathir sambil mendakwa bekas perdana menteri itu menggunakan orang Melayu dan Umno selama ini atas nama memperjuangkan agenda Melayu.
Dengan mengungkit sejarah Dr Mahathir “berketurunan India”, timbalan perdana menteri berkata, perdana menteri selama 22 tahun itu sebenarnya seorang yang “mudah lupa”.
“Ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) beri pada saya maklumat ini. Sebab itu, dia (Dr Mahathir) kata Melayu mudah lupa. Ini yang dikongsi. Ini IC biru dia. Nama dia Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty. No IC biru dia 2232519. Ini yang dihantar oleh ketua pengarah JPN kepada saya.
“Patutlah dia kata kita mudah lupa. Sebab dia anak laki-laki Iskandar Kutty,” katanya ketika berucap menutup Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kelana Jaya, lebih 3 bulan lalu.