
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam kenyataan hari ini berkata, setelah berbincang dengan para ahli Dewan di-Raja Selangor, memandang serius, murka dan amat kecewa dengan petikan ucapan pengerusi Pakatan Harapan itu yang dilihat cuba menghasut rakyat untuk membenci, menghina dan memandang serong terhadap bangsa Bugis.
“Berdasarkan rakaman klip video ucapan berkenaan yang telah tular di media sosial, tohmahan dan kenyataan Tun Dr Mahathir itu jelas menghina dan menggolongkan bangsa Bugis ini kononnya berasal usul dari golongan lanun, perompak dan penjenayah.
“Ahli-ahli Dewan di-Raja Selangor menganggap ucapan berkenaan amatlah keterlaluan dan boleh mencetuskan perasaan benci dan prasangka buruk rakyat terhadap bangsa Bugis sehingga boleh mencetuskan huru-hara.
“Tohmahan ini secara tidak langsung menghina salasilah dan keturunan Kesultanan Selangor yang berasal dari Bugis,” kata kenyataan itu.
Dr Mahathir di tunjuk perasaan Sayangi Malaysia – Hapuskan Kleptokrasi di Padang Timur di sini 14 Oktober lepas membidas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai “keturunan lanun bugis”.
Kenyataan itu mengundang bantahan Persatuan Perpaduan Rumpus Bugis Melayu Malaysia, namun bekas perdana menteri menafikan beliau berniat menghina seluruh keturunan Bugis.
Sultan Sharafuddin mengingatkan semua pihak, terutama ahli politik, untuk tidak mempersendakan isu bangsa dan keturunan sebagai modal politik kerana ianya boleh menggugat keharmonian dan perpaduan rakyat.
“Tun Dr Mahathir sebagai seorang bekas perdana menteri yang menerajui pemerintahan negara selama tempoh 22 tahun seharusnya lebih berhati-hati di dalam mengeluarkan sebarang kenyataan dan seharusnya juga lebih mengetahui tentang fakta sejarah keturunan bangsa Bugis.”