
Ini bertujuan mengurangkan kos pengeluaran Proton, selain memastikan vendornya kekal berdaya saing, susulan penggabungan syarikat pengeluar kereta nasional itu dengan Zhejiang Geely Holdings Group Co Ltd dari China.
The Malaysian Reserve hari ini melaporkan permintaan itu dikeluarkan Ketua Pegawai Eksekutif Proton yang dicalonkan Geely, Li Chunrong ketika beliau menemui vendor Proton minggu lalu.
Geely membeli 49.9% saham Proton daripada DRB-Hicom Bhd pada Mei lalu.
The Malaysian Reserve memetik sumber sebagai berkata, Li menyatakan Proton akan bekerjasama dengan vendor dalam usaha mengurangkan kos dan mencapai sasaran.
Seorang vendor dipetik sebagai berkata, satu daripada cara itu ialah meningkatkan skala ekonomi dengan mengurangkan jumlah varian model.
Seorang sumber dilaporkan berkata, vendor berpendapat mereka boleh mengurangkan harga jika ada jaminan daripada Proton untuk tempahan lebih banyak, seperti yang dilakukan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua).
Sumber itu berkata, Perodua mengeluarkan kira-kira 5,000 kereta sebulan dan ini membantu vendor mengurangkan harga kerana mereka membekalkan lebih banyak bahagian automotif.
Menurut laporan itu, wakil 5,000 vendor Proton bimbang syarikat pengeluar kereta nasional itu di bawah Geely, akan menggunakan bahagian automotif lebih murah dari China dan bukannya pembekal tempatan.
Vendor Proton menikmati lebih 30 tahun perniagaan yang pada dasarnya bebas saingan daripada pengeluar kereta nasional, dan ramai bimbang perniagaan mereka terjejas akibat kemasukan Geely.
Ramai yang tidak berpuas hati dengan pengurangan harga 20% itu.
Laporan itu memetik Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia, Datuk Mohamad Madani Sahari berkata, tindakan itu perlu dilihat sebagai peluang untuk vendor tempatan menjadi kompetitif dan sebahagian daripada rantaian bekalan global Geely.
“Ini bukan kali pertama pengeluar kereta Malaysia menyertai pakatan strategik dengan rakan kongsi asing.
“Perodua pernah menjalin kerjasama dengan Daihatsu Motor Co Ltd lebih 1 dekad lalu dan kami nampak kebimbangan tahap sama di kalangan vendor tempatan yang membekalkan bahagian automitif kepada Perodua ketika itu.
“Hari ini, Perodua mempunyai bahagian terbesar dalam pasaran kereta penumpang Malaysia, dengan Perodua Bezza menyaksikan kadar penyetempatan sebanyak 95%,” katanya.
Menurut laporan itu, vendor turut membangkitkan isu kelewatan bayaran daripada Proton. Contohnya, seorang vendor belum menerima bayaran RM5 juta untuk penghantaran bahagian automotif yang sudah lewat 6 bulan.