‘Dasar ambil amah tanpa ejen hanya indah khabar dari rupa’

‘Dasar ambil amah tanpa ejen hanya indah khabar dari rupa’

Presiden Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Malaysia berkata, mustahil untuk kerajaan mengurangkan kos pengambilan pembantu rumah sehingga 50%.

Raja-Zulkepley-Dahalan
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Malaysia (Pikap) menyifatkan dasar pengambilan pekerja asing atau pembantu rumah secara langsung dari negara sumber tanpa ejen ibarat angan-angan Mat Jenin yang indah khabar dari rupa.

Presidennya, Datuk Raja Zulkepley Dahalan berkata, mustahil untuk kerajaan mengurangkan kos pengambilan pembantu rumah sehingga 50% tanpa sebarang perbincangan dengan negara sumber dan agensi pekerjaan tempatan.

Beliau mendakwa kos mendapatkan “biodata” pembantu rumah di negara sumber kira-kira RM10,000 tidak termasuk kos lain seperti dokumen perjalanan yang memerlukan sekurang-kurangnya RM4,000.

“Jika kos-kos seperti ini tidak diteliti dan dikurangkan, mustahil kos pengambilan pembantu rumah dapat dikurangkan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Pikap hari ini.

Beliau mengulas pengumuman perdana menteri ketika membentangkan Bajet 2018, Jumaat lalu, di mana kerajaan membenarkan majikan mengambil pembantu rumah secara langsung dari 9 negara sumber tanpa melalui ejen.

Datuk Seri Najib Razak dilaporkan berkata, majikan juga boleh memohon visa pembantu rumah dari Jabatan Imigresen secara dalam talian dengan bayaran levi dan yuran pemprosesan mengikut kadar sedia ada.

Sabtu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kos mengambil amah asing boleh dikurangkan sehingga 50% berbanding kos keseluruhan antara RM12,000 hingga RM18,000 yang perlu ditanggung majikan ketika ini.

Mengulas lanjut, Zulkepley berkata, dasar baharu itu juga tidak menjamin kebajikan pekerja asing, selain mungkin berlaku penipuan.

“Kebanyakan majikan mungkin terdedah kepada kes penipuan seperti ditipu ejen di negara sumber ataupun majikan itu menipu dan mengambil pembantu rumah untuk dijadikan isteri mereka.

“Selain itu kebajikan seperti gaji mereka dan penderaan seksual oleh majikan juga boleh timbul.”

Sehubungan itu, katanya, beliau akan menulis surat kepada Najib atau menteri berkaitan untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan dasar baharu itu.

“Kita lihat banyak negatif daripada positif, jika dasar baharu itu dilakukan pada tahun depan.

“Mereka tidak boleh pergi ke kawasan kampung dan mencari pembantu rumah secara bersendirian. Ini secara tidak langsung menyumbang kepada pemerdagangan manusia.

“Kita tidak ketahui sama ada kerajaan 9 negara sumber bersetuju dengan pendekatan ini, khususnya 3 negara sumber terbesar di Indonesia, Filipina dan Kemboja.

“Sekiranya 3 negara ini tidak setuju, dasar ini boleh mendatangkan implikasi tidak baik kepada majikan dan negara,” katanya.

‘Dasar ambil amah tanpa ejen mungkin dorong pemerdagangan manusia’

Agensi pekerjaan Indonesia bantah dasar ambil amah tanpa ejen

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.