
Naib presiden PAS itu berkata Ambiga tidak boleh berdiam diri kerana beliau dikenali sebagai aktivis yang memperjuangkan integriti.
“Kalau betul dia kena minta maaf,” kata Idris kepada pemberita di Parlimen hari ini.
“Sebagai peguam dan pejuang integriti, kebenaran dan pilihan raya bersih kenapa tiba-tiba jadi macam ini? Kredibiliti Sarawak Report boleh dipersoalkan…Apa tujuan dia? Fungsi dia?” tambahnya.
Media semalam melaporkan Clare dalam dokumen pembelaan terhadap saman Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa Ambiga ada becakap dengannya megenai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, 1MDB dan PAS pada Julai 2016.
“Ambiga memberitahu kepada defendan, yang menurutnya sumber itu sebagai boleh dipercayai, jumlah yang diberikan itu sekitar RM90 juta,” kata Clare dalam dokumen mahkamah bertarikh 11 Oktober itu.
Hadi memfailkan saman Mahkamah Tinggi London terhadap editor portal itu April lalu, susulan artikel yang ditulis 6 Ogos tahun lepas.
Sarawak Report menaikkan artikel 8 perenggan yang mendakwa RM90 juta “dikatakan” memasuki akaun pimpinan tinggi PAS bagi memikat mereka menyokong Umno dan BN.
Clare dalam pembelaannya menyenaraikan sekurang-kurangnya 10 pegawai PAS dari kumpulan ulama yang didakwa menerima wang yang disumberkan daripada 1MDB.
Idris berkata Clare seseorang yang mampu mendapatkan dokumen berkenaan 1MDB, namun dalam isu berkenaan hanya bersandarkan kepada cerita Ambiga, sekiranya betul dakwaannya itu.
“Kalau aspek kewangan boleh jejak dari mana transaksi wang ini masuk. Sarawak Report sebelum ini boleh jejak maklumat Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, kemasukan RM2.6 bilion ke dalam akaun Najib, kenapa dalam isu ini hanya khabar angin dari Ambiga?” soal ahli Parlimen Bukit Gantang itu.
Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Datuk Khairuddin Aman Razali berkata Ambiga perlu membuat penjelasan kerana dakwaan itu merosakkan kewibawaannya.
“Di mana sumber Ambiga? Adakah ia suatu andaian atau pun ada sumber yang tepat?” soal ahli Parlimen Kuala Nerus kepada pemberita.
“Paling teruk, nama saya disebut. TSemua ‘rubbish’! Tiada fakta yang betul! Semua permainan wartawan tanpa etika.”
Sementara itu, Ambiga ketika dihubungi tidak mahu mengulas isu yang akan dibicarakan di mahkamah.
“Saya percaya saya tidak boleh mengulas prosiding yang berlangsung di mahkamah UK,” kata Ambiga.