Timbalan speaker arah siasat logo BN dalam Dewan Rakyat

Timbalan speaker arah siasat logo BN dalam Dewan Rakyat

Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasturi Patto berkata, Bajet 2018 yang dibentangkan perdana menteri adalah untuk negara dan rakyat, bukannya bajet BN.

Kasthuri-Patto1
KUALA LUMPUR: Seorang ahli Parlimen DAP menggesa timbalan speaker mempercepatkan siasatan ke atas dakwaan logo Barisan Nasional (BN) dipaparkan dalam skrin televisyen Dewan Rakyat, selepas pembentangan Bajet 2018 oleh perdana menteri, Jumaat lalu.

Datuk Ismail Mohamed Said membenarkan siasatan dijalankan ke atas dakwaan itu yang dibangkitkan Kasturi Patto (DAP-Batu Kawan).

Kasturi berkata, Bajet 2018 yang dibentangkan Datuk Seri Najib Razak adalah untuk negara dan rakyat, bukannya bajet BN.

“Saya membangkitkan Peraturan Mesyuarat kepada speaker supaya beliau menggunakan budi bicara dan kuasa untuk menjalankan siasatan siapa dalang di sebalik pemaparan artikel, bahan politik dalam Dewan Rakyat.

“Pembentangan belanjawan adalah untuk negara dalam Dewan Rakyat yang mana kami dipilih rakyat, bukan belanjawan BN,” katanya pada sidang media di luar Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menyifatkan tindakan itu tidak bertanggungjawab.

“Saya lihat dacing dipaparkan di skrin TV semasa persidangan. Adakah ini bererti kerajaan BN terdesak dan guna apa-apa cara sekalipun untuk rakyat melihat dacing itu,” katanya merujuk logo dacing BN.

“Saya ingin rakyat tahu ini bukan kesilapan kerana sepanjang pembentangan bajet itu, perdana menteri ungkapkan inisiatif dan insetif, ia (logo BN) akan dipaparkan di skrin tersebut.

“Saya nak tahu siapa dalang di sebalik ini dan speaker pun telah bersetuju untuk jalankan siasatan supaya ia dapat dibentangkan di Parlimen.”

Beliau berkata, kakitangan Dewan Rakyat yang bertugas ketika itu mendakwa tidak mengetahui perkara berkenaan.

“Ada bentara tanya saya mana saya tahu, mereka tidak tahu ada paparan itu dan saya tunjuk gambar tersebut…ada dalang yang lakukan perkara ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.