Malaysia pertimbang FTA dengan AS, kata Najib

Malaysia pertimbang FTA dengan AS, kata Najib

Perdana menteri mencadangkan model TPPA digunakan sebagai rangka perjanjian dua hala seperti FTA antara Malaysia dan AS

najib-razak
KUALA LUMPUR: Malaysia mencadangkan model Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) digunakan untuk merangka perjanjian perdagangan dua hala dengan Amerika Syarikat (AS), kata Datuk Seri Najib Razak.

“Berkenaan TPPA, saya dan rombongan Malaysia mengadakan sesi dialog dengan ahli Kongres AS dan menyarankan negara tersebut kekal bersama ahli TPPA yang lain untuk menjayakan perjanjian ini.

“Sekiranya ia tidak berhasil, saya cadangkan model TPPA diguna sebagai rangka perjanjian dua hala seperti FTA, perjanjian perdagangan bebas antara Malaysia dan AS yang tertunda sejak 2008,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, perkara itu dibangkitkannya ketika lawatan delegasi Malaysia ke AS pada 11 hingga 13 September lalu.

Katanya, Malaysia dan AS memberi komitmen untuk meneruskan dialog dua hala menerusi Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan dan Pelaburan (Tifa), selepas Washington menarik diri daripada TPPA.

Pada 23 Januari lalu, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan Washington menarik diri daripada TPPA dan akan memfokuskan Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (Nafta).

Trump mendakwa TPPA menyebabkan kehilangan pekerjaan di AS dan membawa keluar syarikat tempatan dari negara itu.

TPPA yang dirunding bekas presiden Barack Obama, menerima sokongan kuat sektor perniagaan AS, tetapi tidak mendapat kelulusan Kongres.

TPPA menjadi senjata ekonomi utama pentadbiran Obama bagi menghalang kemaraan China di rantau Asia Pasifik.

Selain AS, TPPA disertai Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

 

Trump akhirnya tunai janji, Amerika keluar TPP

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.