
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, mana-mana penceramah sama ada dari dalam mahupun luar negara perlu mendapatkan kebenaran dan tauliah sebelum mereka boleh berceramah di negara ini.
“Setiap penceramah yang ingin mengadakan program berbentuk ceramah di Malaysia perlu mendapat kebenaran dan tauliah jabatan agama negeri, majlis agama negeri, atau jabatan mufti negeri berkenaan,” kata Jamil dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Menurutnya, akan mengeluarkan kebenaran tauliah kepada penganjur ataupun terus kepada penceramah.
“Bagi sesetengah negeri, pihak berautoriti boleh memberikan tauliah sementara kepada penganjur atau penceramah sekiranya memenuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh negeri masing-masing,” katanya.
Jamil berkata demikian menjawab pertanyaan ahli Parlimen Teressa Kok (DAP-Seputeh) yang bertanya sama ada semua ceramah dan syarahan menyentuh Islam di tempat awam dan universiti mesti mendapat kebenaran jabatan agama Islam.
Kok turut bertanya mengapa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berkuasa menyaman Akyol untuk diambil keterangan dan mengarahkan beliau ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Berhubung dengan tindakan Jawi ke atas Akyol, Jawi menerima aduan awam berhubung ceramahnya bertajuk ‘Does freedom of concience open the floodgate to apostasy’, program itu dianjurkan di Kuala Lumpur dan terbuka untuk orang awam.
“Menerusi semakan mendapati Akyol tidak mempunyai tauliah bahkan pihak penganjur atau beliau sendiri tidak membuat permohonan untuk tujuan tersebut,” katanya.
Akyol ditahan atas arahan Jawi ketika bersedia menaiki pesawat di KLIA, selepas menamatkan siri ceramah anjuran Islamic Renaissance Front (IRF).
Beliau yang kerap menyentuh soal kebebasan di kalangan masyarakat Islam menimbulkan rasa kurang selesa di kalangan beberapa kumpulan konservatif negara ini.
Jawi berkata Akyol melanggar Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) yang mewajibkan penceramah agama mendapatkan tauliah mengajar daripada pihak berkuasa agama tempatan.
Akyol bagaimanapun sebelum ini melahirkan rasa terkilan dengan tuduhan ke atasnya, dan berkata beliau bukan seorang imam atau penceramah agama, sebaliknya memberikan pandangan akademik mengenai topik Islam.
Jamil mempertahankan tindakan Jawi ke atas Akyol, dan berkata keperluan tauliah adalah pendekatan bagi memastikan setiap penceramah tidak membawa fahaman yang menyeleweng dan bersalahan dengan agama Islam.