

Baru-baru ini seorang netizen berkongsi kisah benar ditipu seorang lelaki penunggang motosikal untuk “pau” duit dengan cara tersendiri.
Kejadian berlaku pada Isnin lalu (23/10/2017), pengguna Facebook bernama Umie Adam akui terjerat dengan helah seorang penunggang motosikal dekat jalan UTC Sentul.
Tulisnya, saat memandu ke depan kerana penglihatan dihalang kereta yang diletakkan di tepi jalan datang sebuah motor biru yang turut menghalang pandangannya.
“Tiba-tiba lelaki India berkaca mata pandang aku dan beritahu; ‘Akak, tayar kereta you pijak kaki I’.”
Terkejut dengan kenyataan itu, Umie bukan sahaja meminta maaf atas kecuaian yang tidak pernah berlaku sebelum ini malah menawarkan diri membawanya ke klinik jika ada kecederaan.
Namun, pendekkan cerita, lelaki itu enggan ke klinik malah meminta selesaikan “kes” itu dengan membayar RM20.
“Kalau pergi klinik susah la kakak. Nanti doktor bagi surat suruh pergi hospital. Saya nak jumpa lawyer, nak uruskan bayaran motor. Dah la hari ni, hari pertama saya bekerja. Lepas tu, macam-macam hal berlaku pula (Buat muka sedih dan nak menangis),” tulis Umie memetik kata lelaki itu.
Selepas beberapa lama berunding termasuk memaksa Umie mengambil duit dari mesin ATM, akhirnya ia diselesaikan dengan membayar RM13 yang dipinjam dari rakan yang ketika itu bersamanya dalam kereta.
Bagaimanapun Umie akui ragu-ragu dengan lelaki tersebut yang buat muka kasihan selain tidak mahu menunjukkan kecederaan kaki.
Namun, selepas selesai semuanya, ketika kereta Umie berhenti di lampu isyarat dan kebetulan mereka ternampak lelaki itu menghimpitkan motornya di kereta sebelah yang lain sambil melunjurkan kaki kirinya.
Umie baru sedar itu sebahagian taktik kotor lelaki itu untuk mengumpan mangsa pemandu kereta.
Apapun menurut Umie, mangsa baharunya terlepas dan Umie juga sempat membuat laporan polis bagi memastikan tiada lagi orang yang tertipu.
https://www.facebook.com/missunma/posts/10209890391277187