Zahid arah ‘Datuk Seri’ serang anggota Rela serah diri

Zahid arah ‘Datuk Seri’ serang anggota Rela serah diri

Beliau yang juga menteri dalam negeri memberitahu, gelaran atau pangkat bukan merupakan lesen untuk mengambil tindakan kekerasan terhadap orang lain terutamanya petugasberuniform.

Zahid rela hit
PETALING JAYA:
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran kepada seorang lelaki berpangkat ‘Datuk Seri’ segera menyerah diri kepada polis kerana memukul 3 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di Jalan Ampang dekat ibu negara kelmarin.

Ahmad Zahid berkata, individu tersebut masih belum ditangkap namun pihak polis mengetahui siapa dan di mana lokasi lelaki itu berada.

Beliau yang juga menteri dalam negeri memberitahu, gelaran atau pangkat bukan merupakan lesen untuk mengambil tindakan kekerasan terhadap orang lain terutamanya petugasberuniform.

“Kita mengetahui siapa dia dan di mana beliau berada, eloklah menyerah diri sebelum polis tangkap. Ini pengajaran kepada semua bahawa sesiapa yang mempunyai gelaran bukan bermakna undang-undang berada dalam tangan mereka,” kata beliau dipetik Utusan Online.

Terdahulu beliau merasmikan Hari Keluarga Kementerian Dalam Negeri Tahun 2017 di Maktab Penjara Malaysia, Kajang hari ini.

Tiga anggota Rela dilaporkan cedera selepas dipukul seorang “Datuk Seri” di sebuah tokong.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi itu, mangsa Melvin Cheong Mun Khai, 19; Lee Weng Poh, 27, dan Leong Jiun Jie, 21, masing-masing mengalami kecederaan di kepala, mata dan perut.

Melvin Chong berkata kejadian bermula apabila beliau meminta “Datuk Seri” itu agar mengalihkan kenderaan Toyota Vellfire miliknya yang menganggu lalu lintas, namun dia enggan berbuat demikian.

“Lelaki itu marah bila saya minta alihkan kenderaannya dan menepuk meja serta memaki kami selain mengugut akan mengapa-apakan kami.

“Rakan saya Lee dan Leong bertindak untuk meleraikan keadaan, tetapi lelaki itu terus memukul dan menendang kami,” katanya pada sidang media semalam.

Kejadian tersebut dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) dan laporan polis dibuat di Balai Polis Ampang, katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Supt Mohd Zaid Hassan mengesahkan kejadian berkenaan dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Berang diarah alih Vellfire, ‘Datuk Seri’ pukul 3 Rela

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.