Shafie Apdal letih, tak hadir Bajet 2018

Shafie Apdal letih, tak hadir Bajet 2018

Naib Presiden Warisan, Junz Wong berkata, Shafie mengadu keletihan dan hanya mahu pulang ke rumah untuk berehat.

shafie-apdal
KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal yang dibebaskan daripada tahanan reman pagi tadi, tidak akan menghadiri pembentangan Bajet 2018 yang dijadualkan bermula 3.30 petang ini.

Naib Presiden Warisan, Junz Wong berkata, Shafie mengadu keletihan dan mahu pulang ke rumah untuk berehat.

“Beliau baru menyiapkan kertas kerja diperlukan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tempat beliau ditahan sejak Sabtu lalu.

“Jadualnya penuh untuk beberapa hari akan datang, jadi lebih baik beliau berehat sekarang,” katanya kepada FMT.

Shafie yang ditangkap minggu lepas berhubung dakwaan penyelewengan dana RM 1.5 bilion yang diperuntukkan untuk projek pembangunan luar bandar di Sabah, sebaliknya akan menunaikan solat Jumaat.

“Tiada guna ke sesi pembentangan sekarang. Terlalu lambat. Tetapi, beliau pasti akan menghadiri sesi perbahasan minggu depan.”

Shafie hadir di mahkamah hari ini kelihatan letih, tetapi tenang sambil melambai ke arah 400 penyokong yang berkumpul di luar mahkamah sejak 7 pagi.

Isteri dan anak lelakinya turut hadir di mahkamah.

Majistret Cindy Balitus hanya mengambil 20 minit untuk menetapkan ikat jamin RM100,000 untuk pembebasan Shafie.

Peguam Shafie, Loretto Padua Jr berkata, memandangkan beliau sudah diikat jamin, Shafie perlu tampil apabila SPRM memerlukan.

“Kita akan lihat bagaimana keadaannya nanti, tetapi itulah syaratnya,” katanya.

Wong yang melancarkan kempen mengumpul dana untuk membayar ikat jamin Shafie 2 hari lepas, juga mengumumkan kempen itu berakhir dengan kutipan RM102,659.50.

“Warisan mahu berterima kasih kepada semua penyokong atas sokongan padu mereka dalam waktu paling mencabar ini yang dihadapi pemimpin kita.

“Sekali lagi, setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penyokong dan penderma.

“Semua sokongan yang diberikan ialah dorongan motivasi untuk kami meneruskan perjuangan bagi rakyat Sabah.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.