Pembantu rumah boleh diambil tanpa ejen

Pembantu rumah boleh diambil tanpa ejen

Majikan juga boleh memohon visa pembantu rumah daripada Jabatan Imigresen secara dalam talian dengan bayaran levi dan yuran pemprosesan seperti kadar sedia ada.

bajet-2018-pembantu-rumah
KUALA LUMPUR: Menyedari beban kos ditanggung isi rumah bagi penggajian pembantu rumah asing, kerajaan kini memberi pilihan kepada majikan untuk mengambil pembantu rumah asing secara langsung dari sembilan negara sumber tanpa melalui ejen.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata selain itu, majikan juga boleh memohon visa pembantu rumah daripada Jabatan Imigresen secara dalam talian dengan bayaran levi dan yuran pemprosesan seperti kadar sedia ada.

“Pada masa ini kos keseluruhan membawa masuk setiap pembantu rumah boleh mencecah RM12,000 hingga RM18,000,” katanya ketika membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat hari ini.

Justeru, Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan akan mengkaji semula kos pengambilan pembantu rumah asing supaya ia dapat dikurangkan pada masa depan.

Dalam pada itu, kerajaan mengumumkan 2018 sebagai tahun memperkasa wanita dengan melaksanakan beberapa langkah, termasuk mewajibkan sekurang-kurangnya 30% wanita dalam keahlian lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta badan berkanun sebelum akhir 2018.

Najib berkata selain itu, tempoh cuti bersalin mandatori bagi swasta dicadang dinaikkan daripada 60 hari kepada 90 hari seperti yang telah dilaksanakan oleh perkhidmatan awam.

Beliau mengumumkan peruntukan RM20 juta untuk program latihan dan keusahawanan wanita antaranya PEAK Entrepreneur Programme menerusi MyWin Academy.

“Bagi menggalakkan golongan wanita kembali bekerja, kerajaan mencadangkan layanan pengecualian cukai pendapatan individu disediakan ke atas pendapatan diperoleh dalam tempoh 12 bulan berturut-turut kepada mereka selepas tempoh sekurang-kurangnya 2 tahun berhenti kerja,” katanya.

Najib berkata pengecualian tersebut layak dituntut bagi tahun taksiran 2018 hingga 2020.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.