‘PH ada kelebihan, lawan 3 penjuru rugikan BN, PAS’

‘PH ada kelebihan, lawan 3 penjuru rugikan BN, PAS’

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, antara kelebihan itu adalah pemansuhan beberapa subsidi, kejatuhan nilai ringgit serta pelaksanaan GST yang membebankan rakyat.

Fuziah-Salleh-pakatan-harapan-ph
PETALING JAYA: Pertandingan 3 penjuru pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan merugikan Barisan Nasional dan PAS kerana Pakatan Harapan (PH) mempunyai beberapa kelebihan, kata Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.

Wakil rakyat PKR itu berkata, antara kelebihan itu adalah pemansuhan beberapa subsidi, kejatuhan nilai ringgit serta pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) ketika ekonomi negara dilanda ketidaktentuan yang membebankan rakyat.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini mendakwa pengundi Umno dan PAS juga beralih sokongan kepada PH, susulan penubuhan PPBM serta Amanah oleh bekas pemimpin kedua-dua parti itu, selain skandal 1MDB.

Bagaimanapun, katanya, untuk memenangi pertandingan 3 penjuru, pemimpin PH perlu memberi penjelasan kepada pengundi supaya mereka dapat menilai kelebihan dan kekurangan gabungan 4 parti pembangkang itu berbanding Umno, BN di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak serta PAS.

“Pakatan Harapan juga perlu tampil sebagai sebuah kerajaan alternatif yang kuat dan dapat menarik minat golongan yang sudah bosan serta menolak pentadbiran kleptokrat Najib Razak, selain mereka yang mengimpikan permulaan baru untuk Malaysia.

“Dengan itu, Umno dan PAS hanya akan dipertahankan penyokong tegar mereka sahaja, sementara pengundi lain termasuk pengundi atas pagar akan beralih sokongan kepada Pakatan Harapan,” katanya.

Fuziah memetik Ong Kian Ming yang merupakan pengarah strategi pilihan raya DAP ketika berucap di forum “Pertembungan 3 penjuru diyakini menyebelahi Pakatan Harapan” Ahad lalu berkata, ada 2 cara untuk meraih undi rakyat.

“Pertamanya, kita kena beri pengundi pilihan jelas, sebagai contoh, memberikan pengundi 2 pilihan parti besar yang jelas seperti BN dan PH, maka pengundi tidak akan perasan ada parti ke-3.

“Keduanya, memberikan dasar alternatif yang jelas kepada pengundi dengan menunjukkan kepada mereka apa yang Pakatan Harapan boleh lakukan, sekiranya menjadi kerajaan yang diterjemahkan melalui bajet alternatif dan dasar lain. Dengan cara ini, kita dapatkan tunjukkan kemampuan Pakatan Harapan kepada rakyat.”

Dalam pada itu, Fuziah berkata, Pengarah Strategi Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad juga berpendapat PH hanya perlu memenangi 90 kerusi Parlimen di Semenanjung dan beliau yakin akan mendapat sokongan dari Sabah dan Sarawak.

Beliau memetik Dzulkefly sebagai berkata, tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menahan bekas menteri, Datuk Seri Shafie Apdal dan beradiknya berhubung isu penyelewengan dana kerajaan pusat, akan meningkatkan sokongan kepada presiden Parti Warisan Sabah itu yang mempunyai pengaruh kuat di negeri berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.