
Beliau memberi contoh LigaSure – sistem menampal tisu bipolar elektro haba dan Diathermy – peranti menggunakan haba yang dihasilkan arus elektrik untuk terapi fizikal atau pekerjaan, boleh digunakan semula.
Beliau berkata, mengitar semula peralatan itu tidak akan mendatangkan komplikasi kesihatan atau isu kebersihan kerana ia dibersih menggunakan pensterilan wap serta boleh berfungsi seperti ketika digunakan buat kali pertama.
“Alat pakai-buang boleh digunakan untuk kali ke-2 dan ke-3. Kami gunakan kaedah itu,” katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Kementerian Kesihatan dan Yayasan Standard Chartered, semalam.
Bagaimanapun, beliau berkata, amalan itu tidak membabitkan peralatan pakai-buang untuk merawat pesakit menghidap penyakit berjangkit.
Beliau mengulas laporan FMT mengenai kekurangan dana menyebabkan sesetengah hospital mengitar semula peralatan pakai-buang yang boleh mendatangkan risiko.
Laporan itu memetik sumber sektor kesihatan yang berkata, amalan itu boleh membawa risiko kesihatan kepada pesakit.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam yang turut hadir dalam majlis itu semalam bersetuju hospital akan mematuhi protokol ditetapkan pengilang.
“Kawalan akan dilaksanakan. Ianya bukan sesuatu yang kami lakukan sendiri.
“Jika pengilang kata ia hanya untuk digunakan sekali, maka kami akan buang selepas digunakan.
“Banyak pengilang mengatakan walaupun dinyatakan ianya alat sekali pakai, ia boleh digunakan melebihi sekali.”
Pelbagai risiko kesihatan dilaporkan berkait rapat dengan penggunaan semula peralatan perubatan pakai-buang.