
“Perbelanjaan tersebut meliputi perbelanjaan penerbangan, penginapan, pengangkutan, elaun makan, dobi, telefon, dan lain-lain,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke, di Dewan Rakyat.
“Perbelanjaan perdana menteri dan ahli rombongan adalah mengikut kadar yang ditetapkan dari masa ke semasa,” katanya.
Loke meminta butiran terperinci kos penginapan dan jumlah bilik yang ditempah mengikut pecahan kategori berlainan di Trump International Hotel, sebuah hotel milik Trump yang terletak berhampiran White House di Washington.
Bercakap kepada wartawan, Loke mempersoalkan jawapan Azalina yang menurutnya ingin menyembunyikan kos sebenar penginapan tersebut.
Menurut Loke, kos penginapan di hotel berkenaan amat mahal dengan penginapan di bilik biasa menelan kos RM20,000 semalam.
“Selain faktor kos, persoalan yang timbul juga mengapa delegasi perdana menteri memilih Trump International Hotel dengan pengetahuan hotel tersebut adalah milik Trump.
“Ini bukan usaha menimbulkan persoalan sama ada Najib sengaja nak mengampu Trump tetapi juga soal konflik kepentingan kerana undang-undang AS melarang presiden mereka mempunyai apa-apa kepentingan peribadi dengan pemimpin negara asing yang bertemu presiden mereka,” kata Loke.
Loke turut membangkitkan persoalan sama ada kerajaan ingin menyembunyikan kos tersebut bagi mengelakkan kemarahan rakyat.
“Adakah kos terlalu tinggi yang tidak dapat dijustifikasikan atau perbelanjaan untuk penginapan itu terlalu mewah yang akan menimbulkan kemarahan rakyat?”
Tambahnya, persoalan juga timbul mengapa Najib tidak menginap di bangunan Blair House yang merupakan penginapan rasmi untuk tetamu rasmi AS.
“Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong ketika ini diberi layanan rasmi yang istimewa termasuk menginap di Blair House yang merupakan tetamu rasmi, dengan segala kos ditanggung oleh kerajaan AS,” katanya merujuk lawatan rasmi Hsien Loong ke AS minggu ini.
“Trump juga mengadakan sidang akhbar bersama Lee di Rose Garden, Rumah Putih. Adakah Najib diberikan layanan sama?” soalnya lagi.
Sebelum ini, soalan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berhubung butiran kos lawatan Najib ditolak Speaker Dewan Rakyat.