
Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz, pegawai penyiasat kanan dari Polis Sepang, berkata pihaknya hanya mengetahui nama gelaran mereka sahaja.
“Dan tidak ada butir-butir pengenalan diri seperti nombor passport dan nombor telefon,” katanya disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin.
Wan Shaharuddin sebelum itu bertanyakan kepada Wan Azirul mengapa 4 suspek berkenaan masih lagi bebas dan tidak ditangkap.
Minggu lalu, Wan Azirul memberitahu Mahkamah Tinggi, 4 suspek itu dikenali sebagai “Mr Chang”, “James”, “Mr Y” dan “Hanamori”, atau nama lainnya “Grandpa” dan “Uncle”.
Wan Azirul menyatakan polis memohon bantuan daripada Cawangan Khas Bukit Aman dan Interpol mengesan kesemua suspek yang masih lagi bebas.
Warga Indonesia Siti Aisyah, 24, dan warga Vietnam Doan Thi Huong, 29 didakwa di Mahkamah Tinggi atas tuduhan membunuh Jong Nam, abang tiri kepada diktator Korea Utara Kim Jong Un, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Sepang, pada 13 Februari lalu.
Pertuduhan dikenakan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama, membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.