
Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan menyeru rakyat turut serta dalam usaha PPIM memerangi aktiviti haram itu.
“PAS bersama PPIM. Insya Allah PPIM tidak bersendirian. Lantaran PAS juga senantiasa konsisten dalam memerangi teras kemungkaran dalam negara ini.
“Malah, saya menyeru seluruh rakyat tanpa mengira apa agama dan bangsa supaya bangkit dengan penuh sedar dan insaf untuk memerangi judi dan petualangnya hingga ke akar umbi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rabu lalu, PPIM mendakwa aktiviti perjudian haram dan tidak bermoral di negara ini didalangi 9 ketua digelar “dragon” sejak sekian lama.
Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan dilaporkan berkata, 9 ketua itu mampu mengaut keuntungan RM5 bilion sebulan hasil pusat perjudian di seluruh negara melalui sistem hierarki yang diamalkan sejak bertahun lamanya.
Beliau turut menuduh sistem 9 “dragon” itu sudah lama diamalkan sindiket jenayah itu sehinggakan mereka berkuasa menukarkan penguat kuasa yang dirasakan mengganggu gugat kegiatan mereka dalam tempoh 24 jam.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Riduan Mohd Nor berkata, PPIM wajar diberi perlindungan dan sokongan untuk membongkar kegiatan haram itu.
Beliau juga menggesa pihak keselamatan seperti polis memberi perhatian terhadap kegiatan haram itu.
“Kumpulan samseng terbabit perlu ditangkap sebelum mereka bertindak terhadap sesiapa yang mereka ancam.
“Apa yang diinginkan adalah negara ini bebas dari aktiviti perjudian, pelacuran, dadah dan semua aktiviti tidak bermoral yang menjadi bahaya dan membawa kemusnahan kepada negara,” katanya.
Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi menggesa kerajaan mengumumkan langkah bersepadu untuk menangani isu kritikal ini.
Beliau berkata, isu itu berkait dengan integriti kerajaan dan kedaulatan negara.
“Kita percaya pihak penguat kuasa utama negara yakni pasukan polis, termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) sendiri begitu memahami ‘tabiat’ serta potensi daripada kegiatan, pelaku serta bahaya yang mungkin ditimbulkan.
“Sewajarnya ia diperangi untuk tidak membarah sama sekali dalam masyarakat.”