
Jaringan Masyarakat Sivil untuk Advokasi Qanun Jinayat membuat gesaan itu pada satu sidang media di Jakarta semalam, genap 3 tahun perlaksanaan Qanun Jinayat, atau kanun jenayah syariah, di Acheh, lapor BBC Indonesia.
Ketua Perhimpunan Bantuan Hukum dan Hak Asasi Manusia Indonesia (PBHI) Totok Yulianto berkata contoh hukuman yang berlawanan dengan perlembagaan dan undang-undang negara ialah hukuman sebat.
“Hukuman sebat bertentangan dengan undang-undang nombor 39 tahun 1999 tentang hak asasi manusia,” kata Totok.
Pengarah YLBHI, Asfinawati pula berkata fasal 5(c) kanun itu mengakibatkan penduaan perbuatan jenayah yang sudah diatur dalam teks undang-undang hukuman jenayah Indonesia.
“Sehingga terjadi tumpang tindih peraturan perundangan, termasuk perbezaan hukuman jenayah,” katanya. “Keduaan dan penduaan ini bertentangan dengan asas ketertiban dan kepastian hukum seperti diatur dalam undang-undang nombor 12 tahun 2011.”
Sementara itu, penyelaras Program Nasional Solidaritas Perempuan, Nisaa Yura, berkata Qanun Jinayat tidak melindungi kaum perempuan daripada kekerasan, justeru memburukkan potensi kriminalisasi dan diskriminasi terhadap mereka.
“Hal itu dapat dilihat daripada fasal-fasal yang diatur dalam kanun tersebut, misalnya, fasal 52(1) yang mengatur mengenai korban perkosaan untuk memberikan bukti,” kata Nisaa, dan mengingatkan mangsa rogol sukar menyediakan bukti dan saksi.
Beliau memberikan contoh kes rogol di daerah Bireun, Acheh, di mana mangsa dan keluarganya tidak berani melaporkan kes kepada polis kerana keterbatasan di pihak mereka akibat fasal itu.
“Korban perkosaan juga mengalami kesan psikologi dan trauma ketara yang mengakibatkan mereka kesulitan mengungkapkan apa yang terjadi pada mereka,” kata Nisaa.
Justeru, kata gabungan itu, peraturan dalam Qanun Jinayat bertentangan dengan kehendak perlembagaan dan undang-undang Indonesia, “baik pengisian mahupun dalam proses pembentukannya”.
Kerajaan Acheh dan ketua pelaksana hukuman jenayah syariah enggan mengulas gesaan gabungan NGO itu ketika dihubungi BBC Indonesia.
Intitute for Criminal Justice Reform (ICJR) melaporkan terhadap 339 keputusan Qanun Jinayat yang dijatuhkan mahkamah syariah Acheh sejak awal 2015 hingga Disember 2016. Sepanjang Januari hingga September tahun ini, ICJR mencatatkan ada 188 orang yang dikenakan hukuman sebat di 9 wilayah Acheh.
Wakil rakyat di dewan legislatif Acheh, Nur Zahri, bagaimanapun menyifatkan bantahan gabungan itu sebagai “sedikit basi” dan menyarankan mereka mengajukan permohonan semakan kehakiman ke mahkamah agung.
“Sudah bertahun-tahun (membuat) statement penolakan, tetapi tidak pernah melakukan penolakan seperti diatur dalam undang-undang,” kata Nur Zahri kepada BBC Indonesia.
ICJR dan Solidaritas Perempuan pernah membuat permohonan semakan kehakiman terhadap Qanun Jinayat tetapi ditolak mahkamah agung.
“Kalau tuntutan mereka dianggap benar oleh mahkamah agung, tentu fasal-fasal itu akan dibatalkan, atau bahkan qanunnya dibatalkan,” kata Nur Zahri.
Acheh diberi autonomi khas dan autoriti melaksanakan undang-undang Islam selepas Jakarta dan militan mencapai perjanjian damai mengakhiri pemberontakan yang berlarutan dari 1976 hingga 2005.
Qanun Jinayat meliputi kesalahan meminum, menghasilkan dan mengedarkan arak; judi; zina; rogol; gangguan seksual; perlakuan intim tertentu di luar nikah; dan perlakuan homoseksual tertentu. Ia memperuntukkan hukuman sebatan rotan, denda dan pemenjaraan.