Tapak pembinaan di tanah rata, bukan cerun, kata Ramasamy

Tapak pembinaan di tanah rata, bukan cerun, kata Ramasamy

Timbalan ketua menteri membetulkan persepsi yang projek itu dibina di lereng bukit atau cerun bukit, dan berkata kerajaan tidak bertolak ansur dengan projek tepian bukit.

p-ramasamy
GEORGE TOWN: Timbalan Ketua Menteri II P Ramasamy berkata dakwaan mengatakan tapak pembinaan di Tanjung Bungah yang dilanda tanah runtuh baru-baru ini di bina di lereng bukit adalah tidak betul.

Beliau berkata projek kondominium mampu milik yang sedang dibina itu dibangunkan di atas tanah rata dan runtuhan tanah daripada cerun bukit berdekatan tapak itu.

Beliau berkata demikian selepas Penang Forum mendakwa kejadian berlaku berikutan pembinaan di cerun bukit.

“Dakwaan pembangunan lereng bukit punca tragedi sebenarnya tidak betul. Tapak pembinaan itu bukan di atas bukit tapi tanah rata.

“Persoalan sekarang ini sama ada jurutera perunding mengikut kaedah yang betul dalam memstikan cerun berdekatan dalam keadaan selamat.

“Pulau Pinang sebenarnya tidak bertolak ansur dengan projek lereng bukit. Projek melepasi 76 meter tidak dibenarkan sama sekali. Di tempat lain seperti Kuala Lumpur, ada tolak ansur sehingga 300 meter,” kata Ramasamy kepada FMT.

Ramasamy meminta pengkritik menyerahkan siasatan kepada suruhanjaya siasatan yang akan diluluskan gabenor minggu ini.

“Jika tak silap saya ada garis panduan mengenai mewujudkan zon penimbal antara tapak pembinaan dan cerun bukit bersebelahannya.

“Saya fikir jurutera perunding dan kontraktor mesti dipertanggungjawabkan atas tragedi itu.

“Persoalannya sama ada mereka yang berada di lapangan, pemaju, kontraktor dan jurutera perunding mematuhi peraturan mengurus cerun bukit,” katanya.

Ramasamy juga berkata liputan media ke atas tragedi lain tidak sehebat tragedi Tanjung Bungah.

“Liputan media ke atas runtuhan tanjakan di jambatan kedua dan struktur konkrit bangunan Umno tidak seberapa.

“Adakah begini caranya sesetengah media membongkar kebenaran runtuhan cerun di Tanjung Bungah?

“Menyerang kerajaan negeri tanpa sebab yang betul bukan caranya untuk memberi maklumat kepada masyarakat.

“Sementara kerajaan negeri terkesan dengan tragedi itu, kami tidak akan melepaskan tanggungjawab kami kepada rakyat Pulau Pinang,” katanya.

Pegawai penyelamat memberitahu sejumlah orang 11 dikhuatiri maut dalam timbunan tanah yang runtuh daripada cerun di tapak berdekatan Kolej Tunku Abdul Rahman di Tanjung Bungah.

Setakat 7.30 malam tadi, 8 mayat pekerja warga asing dari Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan Pakistan dikeluarkan dari tempat kejadian.

Seorang penyelia warga tempatan dan 4 yang lain masih belum ditemui setakat berita ini ditulis.

Kondominium mampu milik itu dibina oleh sebuah syarikat swasta dan dijangka siap pada 2020. Ia mempunyai menara setinggi 49 tingkat dan 980 unit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.