
Seorang lelaki mendakwa dia mampu menangkap jin tidak kira berapa ekor, kuat atau jauh sekalipun, menggunakan ilmu khas yang dipelajarinya.Saad Ja’afar, 44, menggelarkan dirinya sebagai pakar tangkap jin menerusi laman blog yang dipercayai miliknya, berkata mampu mengalahkan dan menangkap kesemua jin yang menganggu kehidupan manusia.
Malah, dia juga memberi jaminan untuk mengendalikan sesi berdialog dengan jin yang ditangkap itu untuk mengetahui asal usul mereka.
Ngeri? Tunggu, ada lagi…
Khidmat tangkap jin yang ditawarkan oleh Saad menerusi pusat rawatannya, iLahana juga menawarkan khidmat jarak jauh.
Dalam bahagian soal jawab di laman blognya, Saad berkata, pesakit tidak perlu berjumpa dengannya untuk melakukan rawatan sebaliknya ia boleh dilakukan dari tempatnya.
“Kami rawat dari jauh. Ini memudahkan pesakit yang berada jauh dan ini juga tidak membebankan pesakit yang sedang sakit,” tulisnya.
Tambahnya lagi, rawatan yang digelar pertama di dunia itu tidak serupa dengan mana-mana rawatan lain kerana pihak lain hanya menangkap beberapa ekor jin sebaliknya di iLahana pula pihaknya mampu menangkap berjuta-juta ekor jin.

“Perawat lain tangkap beberapa ekor jin itu dan masukkan ke dalam botol. Jin itu akan keluar semula daripada botol dan ganggu semula pesakit tadi. Maka, masalah tak selesai. Tapi kami tangkap berjuta ekor jin dan kami kurung di satu tempat dan jin-jin itu tidak dapat lepas lagi dan tak boleh ganggu lagi manusia,” dakwanya seperti dipetik di blog Pakar Tangkap Jin.
Mstar Online pula melapor perkhidmatan yang diperkenalkan pada 2015 itu sudah membersihkan hampir 300 kawasan di seluruh negara dan jin yang ditangkap ditempatkan di lokasi rahsia berhampiran sebuah masjid supaya membolehkan ia bertaubat.
Mengenakan upah sebanyak RM200 untuk sesi 2 jam, Saad juga dikatakan terbuka untuk menerima sebarang bayaran mengikut kemahuan pelanggan.