Alumni Al-Azhar anjur persidangan Islam sederhana di Indonesia

Alumni Al-Azhar anjur persidangan Islam sederhana di Indonesia

Persidangan 3 hari itu dihadiri kira-kira 400 peserta dari 15 negara, termasuk ahli Pertubuhan Alumni Antarabangsa Al-Azhar.

indonesia_islam_600new
PETALING JAYA:
Indonesia menganjurkan persidangan antarabangsa Alumni Universiti Al-Azhar di Mataram, Nusa Tenggara Barat, bagi membincangkan isu berkaitan toleransi, Islam sederhana dan berdakwah secara kontemporari dalam era teknologi.

Persidangan 3 hari yang bermula Rabu lalu itu dihadiri kira-kira 400 peserta dari 15 negara, termasuk Australia, Mesir, India, Iraq, Jepun, Jordan, Thailand dan Yaman, ahli Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar (WAAG) dan Pertubuhan Alumni Antarabangsa Al-Azhar.

“Islam sederhana yang diajar Al-Azhar juga bermaksud toleransi terhadap perbezaan idea,” kata Timbalan Pengerusi WAAG, Syeikh Muhammad Abdul Fadil Al Qusi yang dipetik Jakarta Post.

Beliau berkata, Islam di Nusa Tenggara Barat adalah contoh toleransi dan Islam sederhana.

Gabenor Nusa Tenggara Barat, M Zainul Majdi berkata, keharmonian dan toleransi dalam kalangan agama berlainan di wilayah itu adalah faktor Lombok dipilih menjadi tuan rumah persidangan tersebut.

Katanya, toleransi Islam di wilayah itu mencerminkan umat Islam di kepulauan berkenaan, di mana Islam berkaitan sumbangan, pembangunan, keharmonian dan keamanan.

“Orang Arab mengajar orang Indonesia tentang Islam dan sekarang giliran Indonesia pula berkongsi pengalaman hidup secara harmoni,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.