Komuniti Bugis desak Dr M mohon maaf, tarik dakwaan lanun

Komuniti Bugis desak Dr M mohon maaf, tarik dakwaan lanun

Persatuan Perpaduan Rumpun Bugis Melayu Malaysia mengugut akan membuat laporan polis di seluruh negara jika Dr Mahathir enggan memohon maaf dan menarik balik kenyataan itu.

Mahathir-Mohamad-masyarakat-bugis-malaysia
PUTRAJAYA: Masyarakat Bugis di Malaysia hari ini mendesak Tun Dr Mahathir Mohamad memohon maaf dan menarik balik kenyataannya yang menyifatkan Bugis sebagai lanun.

Desakan itu dibuat melalui Persatuan Perpaduan Rumpun Bugis Melayu Malaysia (PPRBMM) yang berhimpun secara aman di depan Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, sebagai membantah kenyataan bersifat perkauman tersebut.

Timbalan Presiden PPRBMM, Tasman Matto yang mengetuai himpunan lebih 200 ahli pertubuhan itu berkata, kenyataan Dr Mahathir tidak boleh diterima sama sekali, apatah lagi isu seumpama itu tidak pernah dibangkitkannya ketika mengetuai kerajaan sebelum ini.

Beliau berkata, sebagai individu yang dikatakan seorang negarawan dan kini mengetuai gabungan parti pembangkang, Dr Mahathir tidak harus mengeluarkan kenyataan mengguris hati komuniti itu serta mana-mana kaum.

“Laporan polis di seluruh negara akan dibuat jika Dr Mahathir enggan menarik balik dan memohon maaf terhadap kenyataan yang ternyata melukakan hati Bugis yang bertapak sebagai sebahagian daripada masyarakat Malaysia sejak sekian lama.

“Kenyataan berbaur perkauman ini amat pedih untuk diterima dan kami akan pastikan seluruh masyarakat Bugis tidak menyokong Dr Mahathir dan partinya apabila sampai masanya kelak,” katanya selepas berhimpun kira-kira setengah jam.

Himpunan aman itu diadakan susulan ucapan Dr Mahathir yang juga pengerusi Pakatan Harapan semasa himpunan “Sayang Malaysia Hapuskan Kleptokrasi” di Padang Timur, Sabtu lepas yang menyebut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mungkin berasal daripada lanun Bugis yang sesat ke Malaysia dan memintanya balik ke Bugis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.