Malaysia Airlines terkejut Peter Bellew umum letak jawatan

Malaysia Airlines terkejut Peter Bellew umum letak jawatan

Syarikat penerbangan negara itu berkata lembaga pengarah akan bermesyuarat dan pengumuman tentang perkara itu akan dibuat pada masa yang sesuai.

peter-bellew12
PETALING JAYA:
Malaysia Airlines tidak menjangka ketua pegawai eksekutifnya, Peter Bellew, akan meletakkan jawatan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini, syarikat RyanAir Holdings PLC berkata Peter Bellew akan meninggalkan Malaysia Airlines selepas setahun menerajui syarikat itu dan akan kembali menyertai RyanAir sebagai ketua pegawai operasi.

Bellew akan diberi tanggungjawab khusus untuk membantu syarikat itu menyelesaikan masalah pengambilan juruterbang yang menyebabkan ribuan penerbangan terpaksa dibatalkan, kata kenyataan itu.

Malaysia Airlines dalam kenyataan hari ini berkata lembaga pengarah akan bermesyuarat dan satu pengumuman tentang perkara itu akan dibuat pada masa yang sesuai.

“Operasi dan perkhidmatan kami akan diteruskan seperti biasa dan komitmen serta keutamaan kami ialah pelanggan kami.

“Pemulihan Malaysia Airlines kekal pada landasannya dan mengikut jadual seperti Pelan Pemulihan MAS.”

Syarikat itu juga mengambil maklum pada sidang media 27 September lepas, Bellew menyatakan komitmen beliau kepada Malaysia Airlines apabila ditanya mengenai spekulasi beliau akan kembali ke RyanAir.

“Beliau berkata beliau gembira berada di Malaysia dan pemulihan Malaysia Airlines akan menjadi ‘pencapaian terhebat dalam hidup saya’.”

Bellew ketika dihubungi tadi berkata beliau tidak akan memberikan sebarang kenyataan kepada media.

“Maaf, saya tidak mahu ditemubual kerana ini ialah urusan lembaga pengarah dan para pemegang saham.

“Terima kasih kerana membuat liputan dalam tahun-tahun kebelakangan ini. Saya hargai sokongan anda,” katanya dalam pesanan WhatsApp.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.