
Bendahari Agung PKR Datin Tan Yee Kew merujuk Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2016, yang digunakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan untuk menyangkal aduan pendapatan rakyat tidak mampu mengejar kenaikan kos sara hidup.
Rahman berkata median pendapatan bulanan isi rumah meningkat RM5,228 pada 2016 berbanding RM4,585 pada 2014, dengan kadar pertumbuhan 6.6% setahun pada nilai nominal.
“Dari segi nilai sebenar, pendapatan bulanan isi rumah bulanan meningkat sebanyak 4.4%.
“Ini bermakna pendapatan isi rumah Malaysia meningkat lebih cepat daripada kadar inflasi sebanyak 2.1% dalam tempoh 2 tahun yang lalu.
“Ini bertentangan dengan tanggapan popular bahawa pendapatan di Malaysia tidak berubah atau kenaikan pendapatan tidak sepadan dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.”
Bagaimanapun, Tan berkata terdapat 2 isu melibatkan golongan berpendapatan 40% terendah (B40) yang perlu ditonjolkan.
Pertama, pertumbuhan pendapatan dalam isi rumah bukan daripada kenaikan gaji, sebaliknya sebahagian besar kerana pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
“Ini bermakna kenaikan pendapatan isi rumah tidak mencerminkan ekonomi bertambah baik.”
Kedua, indeks harga pengguna (CPI) yang diguna untuk mengira kadar inflasi menunjukkan 67% daripada perbelanjaan golongan berpendapatan menengah dan ke bawah meliputi 3 perkara utama: makanan dan minuman tanpa alkohol; pengangkutan; dan perumahan, utiliti dan bahan api.
Beberapa tahun kebelakangan ini, Tan berkata, 3 perkara utama itu mempunyai kadar kenaikan lebih tinggi daripada CPI keseluruhan dan kadar inflasi.
Sebagai contoh, katanya, kadar inflasi pada 2016 ialah 2.1%, tetapi harga makanan dan minuman bukan alkohol meningkat sebanyak 4.2%.
“Keadaan ini lebih teruk tahun ini. Kadar inflasi pada Ogos meningkat 3.8%, sementara harga makanan naik 4.3% dan perbelanjaan pengangkutan juga meningkat sebanyak 11.7%.
“Sekiranya menteri ini pergi ke pasar hari ini dan memberitahu makcik-makcik bahawa kehidupan adalah baik sekarang kerana kadar inflasi tahun lepas hanya 2.1%, beliau pasti dimarahi kerana harga makanan sekurang-kurangnya 16% lebih mahal berbanding sebelum 2014.”
Tan berkata tidak hairanlan orang ramai tidak lagi teruja dengan statistik yang diumumkan kerajaan, dan menambah kebergantungan 40% rakyat kepada BR1M petanda buruk buat negara negara.
“Sudah tiba masanya kerajaan berhenti memperlakukan rakyat seperti orang bodoh, dan ambil tanggungjawab,” katanya.