
Ketua Gabungan NGO 1Malaysia itu berkata, pembangkang sepatutnya mengekalkan identiti mereka dengan warna kuning ketika mengadakan himpunan, bukannya meminta peserta memakai baju merah yang sinonim dengan Umno.
Beliau bagaimanapun memuji Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah yang tetap berbaju kuning ketika menghadiri himpunan anti-kleptokrasi itu di Padang Timur, Sabtu lalu.
“Kegagalan mereka bukan kerana PAS dan sebagainya, tapi imej yang mereka bawa itu ke arah Umno dan imej yang mereka bawa macam baju merah.
“Penyokong PH ini sebati dengan baju kuning, bila penganjur tukar baju merah, (penyokong kata) ini himpunan Jamal Yunos, jadi mereka tak nak pakai,” katanya selepas perasmian Restoran Gabungan NGO 1Malaysia di Jalan Pahang, hari ini.
Penganjur mengumumkan 25,000 orang menghadiri himpunan “Sayang Malaysia Hapuskan Kleptokrasi” pada tengah malam Sabtu lalu. Jumlah itu jauh daripada sasaran awal 100,000 peserta.
Bagaimanapun, Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor mengesahkan jumlah kehadiran peserta himpunan itu hanyalah sekitar 4,000 orang.
Mengulas lanjut, Jamal menggesa pembangkang mengadakan himpunan sekali lagi untuk mencuba nasib menarik kehadiran lebih ramai.
“Mereka boleh cuba sekali lagi, cuba 2, 3 kali lagi, tapi jangan tukar identiti. Jangan ciplak baju saya,” sindirnya.
Ketua Umno bahagian Sungai Besar itu turut menawarkan diri menjadi perunding himpunan PH pada masa depan dan potongan harga sehingga 50% untuk menyewa peralatan dan kelengkapan majlis berbanding RM450,000 yang dibayar PH kepada kontraktor.
“Kalau Mat Sabu (Presiden Amanah) bayar RM450,000 kepada kontraktor majlis kelmarin, saya bagi separuh harga daripada harga tersebut, termasuk saya sendiri akan menjadi pakar perunding.
“Orang ramai dapat melihat persembahan yang baik, kelengkapan bagus, pencahayaan cukup baik dan skrin LED disusun keliling padang. Ini kerana saya mempunyai peralatan canggih,” katanya.
https://www.youtube.com/watch?v=-AWR-3pyBPI
Jumlah hadir rendah, Mat Sabu kata belia lebih gemar perarakan
Hadirin rendah bukti tokoh Pakatan tiada pengaruh banding Hadi, kata PAS