
Menurut kenyataan G25, kumpulan itu cuba mendapatkan pengharaman itu ditarik balik Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tetati gagal.
“Kami juga meminta mesyuarat diadakan dengan menteri dalam negeri menerusi bekas perdana menteri dan penulis prakata buku itu, iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi, tetapi tidak menerima sebarang respons,” katanya.
Tindakan undang-undang itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat.
Larangan ke atas buku yang membincangkan peranan Islam dalam kerangka perlembagaan Malaysia dibuat bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dan ditandatangani Zahid pada 14 Jun dan diwartakan pada 27 Julai.
Menurut Kementerian Dalam Negeri, buku itu diharamkan kerana menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam, membahayakan moral dan kepentingan awam, di samping mempromosikan fahaman “liberalisme dan pluralisme”.
Buku tersebut diterbitkan Marshall Cavendish International (Asia) di Singapura dan dilancarkan 2 tahun lalu oleh ahli veteran Umno dan ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.
“Kami masih hairan mengapa buku itu dilarang kerana tidak dijelaskan apakah dasar larangan itu dan bahagian mana yang dianggap ‘menjejaskan ketenteraman awam dan boleh mencetuskan pendapat orang awam’.”
“Ini terutamanya apabila tujuan buku itu hanyalah untuk meneroka konsep kesederhanaan dalam Islam, dalam konteks Malaysia sebagai negara demokrasi berperlembagaan, ditambah dengan aspirasi negara untuk menjadi sebuah negara maju dan contoh kepada dunia Islam,” kata G25.
Buku itu menyentuh kesan birokrasi Islam di Malaysia dan ketekalannya dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia juga menyentuh dimensi sosio politik dan kesan ekonomi kepada masyarakat tempatan.