Perlukah perkenal wang ‘mesra Islam’, soal Sultan Johor

Perlukah perkenal wang ‘mesra Islam’, soal Sultan Johor

Sultan Ibrahim memberi contoh wang akan bertukar tangan dan mungkin disentuh peniaga arak serta daging babi, selain dicemari najis.

Sultan-Ibrahim-Sultan-Iskandar-duit-ringgit-malaysia
PETALING JAYA: Sultan Johor berkata, jika isu dobi “mesra Islam” tidak dihentikan segera, ia akan menyebabkan perpecahan kaum dan masalah lain seperti kemungkinan wujud wang “mesra Muslim”.

Selaku ketua agama negeri, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang dipetik China Press sebagai berkata, baginda mempunyai tanggungjawab untuk mengekalkan perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum, serta mengambil tindakan segera bagi menghentikan sebarang isu yang boleh menyebabkan perpecahan kaum.

“Saya percaya tindakan meletakkan papan tanda tersebut boleh menyebabkan perpecahan kerana wujud perasaan curiga atau buruk sangka kepada penganut agama lain.

“Ia juga menggambarkan cara hidup Islam yang ekstrem, sedangkan agama Islam itu sentiasa mengutamakan keharmonian dan berbuat baik serta adil kepada orang yang tidak seagama. Pemikiran yang sempit ini bukanlah cara masyarakat Islam di Johor,” kata Sultan Johor pada Majlis Konvokesyen Universiti Tun Hussein Onn Malaysia ke-17 di Batu Pahat, hari ini.

Sultan Ibrahim turut mempersoalkan keperluan untuk kerajaan memperkenalkan wang “mesra Muslim” memandangkan wang akan bertukar tangan serta mungkin disentuh peniaga arak dan daging babi, selain mungkin dicemari najis.

“Bagaimana pula dengan tempat duduk di tempat awam yang mungkin dijilat anjing atau bantal dan selimut di hotel yang mungkin pernah terkena najis.

“Perkara ini tidak akan berakhir. Kalau semua sudah tak boleh, maka nasihat saya lebih baik duduk seorang di dalam gua dan tidak perlu hidup masyarakat.”

Terdahulu, Sultan Johor dilapor menyifatkan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Dr Zamihan Mat Zin sebagai “tin kosong yang tiada otak” serta “seolah-olah dia sahaja yang betul dan mencerca bangsa lain.”

Ia selepas tindakan Zamihan mengkritik Sultan Ibrahim mengenai isu kedai dobi “mesra Islam” di Muar menerusi rakaman ceramahnya di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam, Ahad lalu.

Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja) menyokong kedai dobi khas untuk umat Islam dengan berkata, pandangan Sultan Ibrahim itu “tidak patut”, sambil menyifatkan orang bukan Islam kotor sehinggakan pakaian mereka tidak boleh bercampur aduk dengan pakaian orang Islam.

“Cina biasa kencing berak tak basuh. Bagaimana tentang darah haid mereka, pada pakaian dalam mereka, peluk dakap anjing, minum arak, tumpah arak, makan babi, sup babi. Itu semua sinonim dengan mereka,” kata Zamihan yang baru dibebaskan petang tadi daripada tahanan reman 3 hari kerana disyaki menghasut.

Selasa lalu, Majlis Raja-raja Melayu turut mengecam dasar perniagaan untuk “orang Islam sahaja” sebagai tindakan bersifat keterlaluan yang boleh menjejaskan keharmonian dan membawa implikasi lebih mendalam, jika berkaitan atau dilakukan atas nama Islam.

Sultan Johor kecam Zamihan tin kosong, angkuh

Peguam: Zamihan dibebas, mahkamah tolak permohonan lanjut reman

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.