
Dalam mesej dimuat naik menerusi Twitter hari ini, Akyol berkata, beliau mahu “mengingatkan” kerajaan tentang apa maksud di sebalik tindakan mengharam buku-buku terbabit.
“Biar saya mengingatkan kerajaan Melayu (Malaysia), dengan segala rasa hormat, apa maksudnya ‘mengharamkan buku’,” kata beliau yang turut menyelitkan pautan kepada tulisannya dalam New York Times pada Mac tahun lalu, yang bertajuk “Bagaimana Kerajaan Islam Memaksa Kejahilan”.
Beliau juga menulis 1 baris dari artikel yang mengatakan “setakat ini, kerajaan Malaysia tidak mengharamkan buku saya.”
“Ia akan datang 1.5 tahun kemudian,” tambah beliau dalam tweet itu merujuk kepada edisi Melayu buku “Islam Without Extremes: A Muslim Case for Liberty”, terbitan Islamic Renaissance Front (IRF) dan diharamkan oleh kementerian dalam negeri.
Pada 9 Oktober, kementerian itu mengumumkan buku itu bersama-sama dengan 21 penerbitan lain dilarang kerana kandungannya boleh memudaratkan ketenteraman awam, melanggar undang-undang yang ada, merosakkan moral awam dan membahayakan kepentingan awam.
Akyol ditahan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pada 25 September lalu selepas beliau datang ke Malaysia untuk memberi siri ceramah yang dianjurkan oleh IRF.
Pengarah IRF, Ahmad Farouk Musa dilaporkan berkata Akyol dipanggil oleh Jawi untuk menyiasat dakwaan “mengajar Islam tanpa tauliah”, yang mana pihak berkuasa agama menekankan agar penganjur membatalkan forum itu.
Menurut Jawi, Akyol ditangkap berdasarkan “aduan daripada orang awam” atas ucapan yang dibuatnya dalam perbincangan meja bulat bertajuk “Adakah kebebasan bersuara membuka pintu kepada murtad?” di Kelab Golf Diraja Selangor, Kuala Lumpur.
Dalam ruangan pendapat yang ada hubungan dengan tweet yang beliau tulis hari ini, Akyol berkata, banyak orang Islam, termasuk mereka yang menapis buku atau menghukum “bidaah”, merindukan “zaman kegemilangan Islam” dan sedih kerana tamadun Islam tidak lagi hebat.
“Namun, sedikit yang menyedari bahawa kehebatan Islam dimungkinkan berkat keterbukaannya terhadap budaya dan idea asing,” katanya.
Beliau juga berkata kerajaan Malaysia mengecam “liberalisme” dan “hak asasi manusia.”
“Penapis ini suka berfikir, dengan melindungi orang yang percaya kepada dari idea-idea berbahaya, mereka lakukan sesuatu yang sangat baik kepada masyarakat Muslim. (Tetapi) mereka melakukan sebaliknya,” katanya.
“Politik pemikiran mereka hanya menyumbang kepada umat Islam miskin dari segi intelek yang memalukan,”
Sebelum ini Akyol berkata pengalaman ditangkap oleh pihak berkuasa agama di Malaysia merupakan yang pertama sepanjang kariernya sebagai ahli akademik, dan tidak menyangka perkara sedemikian boleh berlaku di negara ini.
“Saya tidak pernah ditangkap sebelum ini untuk apa-apa ketika menyampaikan beberapa ceramah,” kata Akyol, yang mengajar di Denver University di Boston, Amerika Syarikat.
“Ini bukan sesuatu yang saya bayangkan. Saya membayangkan perkara ini mungkin berlaku di Arab Saudi, saya fikir rakyat Malaysia adalah masyarakat yang lebih terbuka.”
Akyol: Ini kali pertama saya ditahan, tak sangka berlaku di Malaysia