Kes RM1.5 bilion: KP SPRM bakal lawat loji air Semporna

Kes RM1.5 bilion: KP SPRM bakal lawat loji air Semporna

Terdapat 350 projek bawah kementerian itu yang diteliti SPRM atas dakwaan penggelapan dana persekutuan.

dzulkifle
KOTA KINABALU:
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Dzulkifli Ahmad bakal memeriksa loji air di Semporna, Sabah esok dalam siasatan ke atas dakwaan penyelewengan RM1.5 bilion daripada dana yang diperuntukkan untuk pembangunan luar bandar di negeri itu.

Menurut SPRM, Dzulkifli bakal bertemu penduduk yang dikatakan terkesan akibat loji air yang tidak berfungsi itu.

Penyiasat SPRM dikatakan sedang memfokuskan loji air Semporna dan projek paip bawah bawah air di Pulau Gaya buat masa ini.

Pasukan itu sedang memeriksa projek sedemikian yang dilaksanakan bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, untuk memastikan projek itu siap dan masih berfungsi.

Loji air bernilai RM45 juta di Semporna itu dirobohkan dan dibina semula tetapi tidak dapat berfungsi kerana sungai yang mengalir ke sana terlalu cetek.

Terdapat 350 projek bawah kementerian itu yang diteliti SPRM atas dakwaan penggelapan dana persekutuan.

Projek ini dijalankan antara 2009 dan 2015 di daerah Kota Kinabalu, Kudat, Kota Belud, Ranau, Beaufort, Keningau, Lahad Datu, Tawau, dan Sandakan.

RM1.5 bilion itu didakwa digelapkan daripada jumlah RM7.5 bilion yang diperuntukkan kepada projek di Sabah melibatkan pembangunan prasarana air, elektrik, dan jalan raya.

Sebanyak RM170 juta dalam beberapa akaun bank dan aset syarikat berkait dengan projek itu dilaporkan sudah dibekukan untuk membantu siasatan.

Tujuh individu termasuk 2 pemimpin tertinggi parti pembangkang Parti Warisan Sabah, kini direman untuk siasatan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.