Ahmadiah wujud sebelum merdeka, mahkamah Indonesia diberitahu

Ahmadiah wujud sebelum merdeka, mahkamah Indonesia diberitahu

Seorang pemimpin Islam memberitahu demikian dalam permohonan pengikut Ahmadiah melawan undang-undang yang menafikan hak kepada mereka.

Zuhairi-Misrawi_islam
PETALING JAYA:
Seorang aktivis Islam di Indonesia berkata komuniti Ahmadiah di negara itu sudah wujud sebelum kemerdekaan tetapi golongan minoriti itu kerap menjadi sasaran diskriminasi.

Ketua Persatuan Islam Sederhana, Zuhairi Misrawi memberitahu Mahkamah Perlembagaan Indonesia, aliran yang kerap dilabel sesat itu sudah wujud sejak 1925, iaitu 2 dekad sebelum Indonesia mencapai kemerdekaan.

“Malah, ada penganutnya turut berjuang untuk memerdekakan negara. Selepas 83 tahun, pada 2008 sehingga kini, mereka didiskriminasi,” katanya memetik laporan portal berita Indonesia, Kompas.com.

Beliau berkata demikian dalam permohonan 9 jemaah Ahmadiah dari pelbagai daerah memyemak semula Undang-Undang Mencemar Kesucian Agama yang menurut mereka menafikan hak perlembagaan komuniti itu.

Zuhairi berkata komuniti Ahmadiah di Indonesia sukar melakukan ibadat di masjid yang dibina oleh mereka.

“Saya lihat sendiri bagaimana masjid mereka dibakar sehingga mereka tidak boleh beribadat secara berjemaah seperti penganut agama lain,” katanya.

Menurut beliau, diskriminasi ini tercetus kerana mendapat “restu” daripada undang-undang Indonesia.

Katanya, individu atau golongan anti-Ahmadiah menggunakan Undang-Undang Nombor 1 PNPS (Penetapan Presiden) Pencegahan Penyalahgunaan dan/atau Mencemar Kesucian Agama 1965 untuk bertindak ke atas komuniti itu.

Selain Ahmadiah, 2 golongan minoriti lain yang sering menjadi sasaran diskriminasi di Indonesia ialah Syiah dan Kristian.

Zuhairi menggesa Mahkamah Perlembagaan mengisytiharkan individu atau golongan tertentu tidak boleh menidakkan hak ibadat agama dan kepercayaan agama lain.

“Permohonan itu bukan hanya kepada Ahmadiah sahaja, tetapi juga Kristian, Buddha, Kung Fu Tse , Katolik dan lain-lain. Negara harus memberi jaminan kebebasan beribadat dan perlindungan kepada mereka.

Ahmadiah merupakan fahaman Islam dari benua kecil India, yang diisytiharkan menyeleweng oleh kebanyakan ulama termasuk pihak berkuasa agama di Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.