
Perkembangan itu menyanggah spekulasi mengatakan warga asing yang menginap bersama tuan rumah AirBnB akan terlepas dari cukai itu, yang mencetuskan pertikaian dalam kalangan pengusaha hotel.
Ketua Pengarah Kastam Datuk Subromaniam Tholasy berkata pegawai dari syarikat perkongsian hartanah yang berpangkalan di San Francisco, Amerika Syarikat itu bertemu dengan pihak berkuasa di sini.
“Kutipan akan dilakukan dengan menggunakan mekanisme yang sama digunakan untuk hotel,” katanya menurut laporan penerbitan kewangan itu mengenai cukai yang berkuatkuasa bulan lepas.
Dewan Rakyat pada 6 April lalu membentangkan rang undang-undang Cukai Pelancongan 2017 yang mengetakan cukai bertingkat ke atas semua penginapan hotel, untuk rakyat dan warga asing. Undang-undang itu mengundang kritikan dan mendorong kerajaan membuat pindaan pada sidang Julai.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz memberitahu Dewan Rakayt pada 26 Julai lepas bahawa warga asing perlu membayar fi rata RM10 sebilik semalam tanpa mengira taraf hotel.
“Dengan kadar rata itu, mengutip cukai tidak lagi perlukan mekanisme rumit.
“Cukai rata itu akan memudahkan kastam mengutip cukai berdasarkan bilangan bilik yang ditempah,” katanya, dan menambah fi rata juga akan memudahkan pelancong mencongak berapa perlu dibayar berdasarkan kepada bilangan malam.
Menurut The Malaysian Reserve, Airbnb berkata pihaknya tidak masalah untuk memabyar cukai itu dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan.
“Airbnb mahu bayar cukai, dan kita bekerjasama dengan kerajaan di seluruh dunia untuk memudahkan tuan rumah dan penginap membayar bahagian mereka.
“Setakat Mei tahun ini, kita mempunyai perjanjian dengan 275 pihak berkuasa dan mengutip dan membayar lebih AS$240 juta (RM1.01 bilion) dalam bentuk cukai hotel dan pelancong.
“Dengan menguruskan perkara itu bagi pihak komuniti tuan rumah, Airbnb memastikan proses yang mudah dan kemas sambil meringankan beban pentadbiran untuk pihak berkuasa,” kata jurucakap Airbnb kepada The Malaysian Reserve melalui emel.
Syarikat itu menambah Airbnb kini memiliki 17,270 senarai aktif di Malaysia, dan menjangkakan pendapatan daripada hartanah Airbnb di Kuala Lumpur sahaja kira-kira RM29 juta berdapatkan kepada purata sewa dan huni.