
Saman itu difailkan Mohamad Ezam, selaku Presiden Parti Bebas Rasuah, berhubung kerugian dialami 1MDB berjumlah AS$3.657 bilion.
Peguam Yazid Mustaqim Roslan yang mewakili Perdana Menteri, ketika ditemui pemberita berkata pada tarikh sama (22 November) mahkamah juga menetapkan untuk mendengar permohonan anak guamnya bagi menangguhkan prosiding sementara menunggu permohonan membatalkan saman diputuskan oleh mahkamah.
Beliau berkata Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya ketika pengurusan kes berkenaan hari ini.
Yazid berkata mahkamah turut mengarahkan semua pihak failkan hujah masing-masing sebelum tarikh pendengaran tersebut.
Najib memfailkan permohonan membatalkan saman pada 12 Julai lepas, atas alasan Mohamad Ezam tidak mempunyai ‘locus standi’ (hak di sisi undang-undang) untuk mengemukakan tuntutan tersebut.
Selain Najib selaku defendan pertama, turut memfailkan permohonan bagi membatalkan saman ialah 13 bekas ahli Lembaga Pengarah 1MDB iaitu Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, Datuk Kamal Mohd Ali, Datuk Norazman Ayob, Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, Tan Sri Ismee Ismail, Tan Sri Ong Gim Huat dan Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi selaku defendan kedua hingga kelapan.
Selain itu, Ashvin Jethanand Valiram, K Arul Kanda, Mohd Hazem Abd Rahman @Mohamed, Datuk Mohd Bakke Salleh, Tan Sri Azlan Mohd Zainol, Datuk Tengku Rahimah Puteri Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah sebagai defendan ke-9 hingga ke-14.
Syarikat 1MDB dan kerajaan Malaysia sebagai defendan ke-15 dan ke-16 turut memfailkan permohonan bagi membatalkan saman difailkan Mohamad Ezam, pada 14 April lepas.
Dalam penyataan tuntutan, Mohamad Ezam, selaku plaintif, mendakwa syarikat 1MDB telah meminjam sejumlah AS$6.5 bilion dengan bantuan Goldman Sachs International Ltd yang sewajarnya dimasukkan ke akaun syarikat berkenaan.
Namun, beliau mendakwa kesemua defendan bertindak secara melulu dengan menyebabkan sejumlah AS$3.657 bilion dibayar kepada pihak tidak berhak hingga menyebabkan kerugian kepada syarikat 1MDB.
Oleh itu, plaintif menuntut kesemua defendan menanggung kerugian syarikat 1MDB dengan bayaran sejumlah AS$3.657 bilion kepada syarikat berkenaan, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.