
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya menunggu laporan penuh Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader mengenai klip itu, yang dimuat naik di sebalik dakwaan sebuah kumpulan pengguna baru-baru ini yang anggota polis membantu pusat judi haram di negeri itu.
“Siasatan telus akan dilakukan tanpa melindungi mana-mana anggota polis sekiranya terbukti mereka terlibat dengan salah laku dan integriti,” Fuzi memberitahu Bernama malam tadi.
Video berdurasi 9 saat itu dikongsi di akaun Facebook, sebelum dimuat naik di Youtube. Ia menunjukkan sekumpulan lelaki berhibur di sebuah kelab malam.
Klip itu dimuat naik kurang 2 minggu selepas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendakwa mempunyai bukti seorang pegawai tinggi polis di Johor membantu tauke judi.
“Kita yakin, tak perlu tipu dan rakyat sendiri tahu banyak pusat perjudian di Malaysia ‘dipayung’ oleh polis. Dan polis makan ‘paw’,” kata jurucakap PPIM, Abdul Halim Ikhsan, merujuk istilah jalanan untuk “rasuah”, dalam program PPIM dirakamkan pada 23 September lalu.
“Di Kluang (Johor), semua orang tahu berapa besar, berapa banyak pusat perjudian haram?” katanya.
Semalam, Fuzi memberitahu FMT polis akan bertindak sekiranya ada pegawai didapati berkomplot dengan tauke judi haram seperti yang didakwa.
“Saya sudah cakap banyak kali tentang usaha kami mengekang perjudian, terutamanya semasa hari pertama saya menjadi ketua polis negara,” kata Fuzi kepada FMT.
“Kami tidak dapat membasmi masalah perjudian 100% tapi kami tidak mengatakan kami mengambil sikap sambil lewa terhadap masalah itu. Kami melakukan yang terbaik untuk menangani masalah ini,” kata Fuzi.