
Timbalan perdana menteri itu berkata buku bertajuk “Islam Without Extremes: A Muslim Case for Liberty”, yang juga diterjemah dalam Bahasa Melayu, bertentangan dari segi fakta dan menjejaskan keselamatan dalam negara jika disebarkan.
“Buku yang kita haramkan itu dari penulis luar negara, unsur buku berkenaan banyak fakta yang tidak bersesuaian dengan norma kehidupan masyarakat di dalam negara.
“Bahkan, jika buku berkenaan disebarkan ia boleh dikaitkan dengan isu keselamatan dalam negara pula,” katanya kepada wartawan hari ini.
Warta kerajaan ditanda tangani Zahid selaku menteri dalam negeri hujung bulan lalu mengharamkan buku penulisan Akyol, termasuk edisi Melayu, “Islam Tanpa Keekstreman: Berhujah Untuk Kebebasan” yang diterbitkan Islamic Renaissance Front, di samping beberapa judul lain atas alasan mengancam keselamatan.
Akyol bulan lalu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atas arahan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) kerana dituduh mengajar agama tanpa tauliah.
Kolumnis New York Times itu bagaimanapun berkata beliau hanya memberikan pandangan seorang akademik.
Zahid berkata pengharaman sesuatu buku tidak dilakukan sewenang-wenangnya sebaliknya melalui 3 tahap.
“Pertamanya, apabila kita mendapat maklum balas daripada orang ramai mengenai ketidaksesuaian buku itu.
“Kedua, kita menilai isu kandungan buku berkenaan berdasarkan kepada permit dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) atau ISBN.
“Ketiga, tentunya kita lakukan siasatan terhadap ketidaksesuaian sesuatu buku itu,” katanya.