
Naib Presiden Amanah itu dalam kenyataan berkata pihak berkuasa agama juga tertakluk kepada kebebasan bersuara kerana Islam sangat tegas dengan prinsip “tiada paksaan dalam agama”.
“Tamadun Islam yang gemilang dibangunkan atas wadah kebebasan kegiatan aktivisme intelektual yang sihat sehingga melahirkan pemikir terkenal seperti Ibnu Sina, al-Farabi, Ibnu Rushd dan sebagainya,” katanya.
Beliau memetik Perkara 3 dan 11 dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyebut tentang kebebasan beragama, mengatakan ianya membenarkan pandangan pelbagai aliran.
Dalam kenyataan itu juga, beliau menzahirkan rasa kesalnya terhadap penahanan penulis Turki terkenal Mustafa Akyol baru-baru ini dan mengatakan ia menunjukkan keadaan umat Islam yang semakin mundur akibat kegiatan ilmiah yang semakin disekat.
Pada 25 September lalu, Akyol ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika bersedia menaiki penerbangan ke Rome dalam perjalanan pulang ke Amerika Syarikat, setelah selesai siri ceramah di Kuala Lumpur yang dianjurkan Islamic Renaissance Front (IRF).
Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri, dalam warta kerajaan bertarikh 28 September, mengharamkan 3 buku terbitan IRF yang disunting oleh Pengarah IRF, Datuk Dr Ahmad Farouk Musa, termasuklah terjemahan buku yang ditulis oleh Mustafa Akyol, yang mengupas mengupas topik kontemporari mengenai Islam.
Tiga buku itu termasuk “Islam Tanpa Keekstreman: Berhujah Untuk Kebebasan”, iaitu terjemahan daripada karya asal Mustafa Akyol, penulis Turki yang baru-baru ini ditangkap pihak berkuasa agama di Kuala Lumpur, sebelum dilepaskan berikutan tekanan bekas presiden Turki, Abdullah Gul dan pihak istana di Malaysia.
Dua lagi buku IRF yang diharamkan merupakan 2 jilid dalam siri “Wacana Pemikiran Reformis”, membincangkan kejumudan pemikiran umat Islam, dan disunting oleh Datuk Dr Ahmad Farouk Musa, pengarah kumpulan itu.
Manakala buku “Aku _____, Maka Aku Ada!” adalah buku ke-7 karya novelis Faisal Tehrani yang diharamkan setakat ini.