Zahid serah KPN jawab isu larang festival arak

Zahid serah KPN jawab isu larang festival arak

Zahid berkata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bertanggungjawab menjelaskan larangan terhadap pesta arak.

ahmad-zahid-hamidi-kpn-fuzi-arak-polis
BANGI: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun untuk menjelaskan larangan yang dikenakan terhadap penganjuran festival arak di negara ini.

“Ini soalan teknikal, ia harus diserahkan kepada KPN saya,” kata Zahid kepada pemberita ketika sidang media sempena pelancaran Bulan Kebajikan Negara di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP), hari ini.

Beliau yang juga menteri dalam negeri berkata demikian ketika diminta mengulas larangan festival seperti itu dianjurkan tahun ini sedangkan festival yang sama pernah diadakan di negara ini sejak beberapa tahun sebelum ini.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum ini tidak mengeluarkan permit penganjuran “Better Beer Festival” di Publika atas alasan keselamatan.

Sebelum ini, Fuzi juga dilaporkan berkata penganjuran acara seperti itu mengundang ancaman daripada gerakan ekstremis.

Polis juga tidak akan meluluskan sebarang permit bagi penganjuran pesta makanan dan minuman Jerman yang dijadualkan berlangsung di sebuah pasar raya di Klang, 12 dan 13 Oktober ini.

Semalam, Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Mazelan Paijan berkata, ini kerana festival yang dinamakan “Centro German F&B Party” itu turut menyediakan minuman keras yang mana arahan sudah dikeluarkan kepada polis untuk menyekat sebarang penganjuran pesta arak.

“Pihak saya tidak membenarkan seperti mana arahan yang dikeluarkan timbalan perdana menteri baru-baru ini supaya polis memastikan tiada sebarang pesta arak dianjurkan,” kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.