
Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa berkata, setiap bahagian Umno bebas meletakkan nama calon pilihan mereka.
“Dalam Umno akar umbi boleh syor, tetapi mandat penuh presiden akan pilih calon.
“Keutamaannya adalah sejajar dengan aspirasi rakyat, kita tidak mahu mengikat presiden soal kuota pemimpin saf bahagian dan sebagainya,” kata Annuar pada sidang media pasca-Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno hari ini.
Sistem kuota calon, menurut beliau hanya akan mengikat Najib selaku presiden Umno dan pengerusi BN dalam membuat keputusan menentukan calon yang layak.
“Kita perlu berikan fleksibiliti, presiden akan melihat secara keseluruhannya,” kata Annuar, dan menambah, anggota majlis tertinggi parti turut memberikan kepercayaan kepada Najib dalam perkara tersebut.
“Yang pastinya kita akan letakkan calon lebih baik dan berkeupayaam daripada pihak lawan dan dalam Umno juga tiada peratusan dalam pilih calon pilihan raya,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Annuar berkata, setiap parti politik yang bertanding bertanggungjawab mendidik pemilih untuk keluar mengundi dalam PRU14.
Anwar berkata, kerajaan hanya mampu berusaha memastikan mereka yang layak untuk mengundi mendaftar sebagai pemilih.
“Pemilih yang layak memilih, namun enggan keluar mengundi itu kita harap tidak berlaku.
“Dalam negara kita, kerajaan percaya kepada kebijaksanaan rakyat, kita galakkan mereka yang cukup syarat umur harus daftar mengundi namun siapa yang nak kita pilih dalam pilihan raya itu hak kita, tapi kita perlu daftar pemilih.”
Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, kerajaan juga berusaha melalui kempen daftar pemilih untuk memastikan rakyat mendaftar sebagai pemilih.
“Mereka tak daftar mengundi itu agak malang. Jadi kita telah cuba jalankan beberapa kempen untuk galakkan pendaftaran mengundi.
Annuar menambah, hasil kajian menunjukkan 52% daripada pemilih kali ini adalah mereka yang berusia di bawah 40 tahun.
Sehubungan itu, Umno katanya, mengambil berat peranan kelompok pengundi berkenaan.
“Umno akan terus bukan sahaja memberi pembelaan tetapi keperluan aspirasi dan peranan mereka dalam kerajaan dan parti,” katanya.