Ahli akademik bidas Kelantan tak jelaskan etika pakaian

Ahli akademik bidas Kelantan tak jelaskan etika pakaian

Ahli akademik UUM itu berkata, peraturan sebegitu sepatutnya diwar-warkan kepada semua.

Kamarul-Zaman-futsal
PETALING JAYA: Seorang ahli akademik mengkritik Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) gagal menghebahkan peraturan ditetapkannya sehingga menyebabkan seorang lelaki dikenakan tindakan kerana memakai seluar pendek di tempat awam.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, kerajaan negeri sepatutnya memastikan semua rakyatnya tahu peraturan itu.

Beliau berkata demikian kerana Wan Khairul Hayyee Wali, 30, yang didenda itu mendakwa tidak tahu mengenai peraturan tidak boleh memakai seluar pendek di tempat awam.

“Saya sendiri pun tidak tahu (memakai seluar pendek satu kesalahan),” katanya kepada FMT.

Isnin lalu, Jaheaik mengarahkan Wan Khairul menghadiri sesi kaunseling atau membayar denda RM1,000.

Katanya, beliau memakai seluar pendek kerana dalam perjalanan untuk bermain futsal.

“Takkanlah mereka nak saya pakai sarung untuk bermain futsal,” katanya sambil menambah beliau bermain futsal dengan seluar pendek sejak zaman sekolah lagi.

Katanya, beliau akan menghadiri sesi kaunseling mandatori itu.

Pihak berkuasa agama di Kelantan itu mempertahankan tindakan mereka dengan berkata, ia bertujuan mendidik, bukannya menghukum lelaki berkenaan.

Ketua Penguatkuasa Jaheaik, Mohd Fadzuli Mohd Zain berkata, langkah itu selaras Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan dan etika berpakaian itu hanya terhad kepada umat Islam.

Beliau berkata, kebanyakan orang yang dikenakan tindakan seperti Wan Khairul memberi respons positif.

Kamarul bagaimanapun berkata, memakai seluar pendek untuk bermain futsal tidak mengganggu ketenteraman awam.

“Bola sepak di mana-mana pun kena pakai seluar pendek, pemain negeri Kelantan sendiri pun memakai seluar pendek,” kata Kamarul.

Bekas menteri undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim yang kini ahli DAP, sependapat dan mencadangkan Wan Khairul boleh mendapatkan nasihat peguam dan menawarkan bantuannya.

“Mereka yang perlu ke kaunseling biasanya menghadapi masalah keluarga. Adakah memakai seluar pendek dianggap satu masalah?”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.