Mat Taib mungkin berdepan masalah bahasa lagi, kata PPBM

Mat Taib mungkin berdepan masalah bahasa lagi, kata PPBM

PPBM mempersoalkan tahap penguasaan bahasa Melayu bekas MB Selangor itu kerana mempersoalkan agenda Melayu di kalangan parti pembangkang.

Rais-Hussin-MAT-TAIB
PETALING JAYA: Seorang pemimpin kanan PPBM berkata keputusan Tan Sri Muhammad Muhammad Taib semalam menyertai semula Umno mungkin kerana bekas menteri besar Selangor itu masih berdepan masalah bahasa seperti mana yang pernah dialaminya 20 tahun lalu sehingga menyebabkan ditangkap pihak berkuasa Australia.

Ketua Biro Strategi dan Dasar PPBM, Datuk Rais Hussin berkata demikian selepas Muhammad Taib, atau Mat Taib, menuduh pembangkang mengabaikan agenda Melayu.

“Saya tidak tahu bagaimana dakwaan itu timbul kerana ia satu pembohongan,” kata Rais yang juga anggota Majlis Presiden PH kepada FMT, beberapa jam selepas sidang media Mat Taib turut disertai pimpinan tertinggi Umno termasuk Datuk Seri Najib Razak, petang semalam.

Mat Taib, yang menyertai PAS pada 2013 sebelum berpindah ke PKR 2 tahun kemudian, semalam mengumumkan beliau kembali ke pangkuan Umno.

Antara alasan diberikan Mat Taib ialah mesyuarat PKR mengabaikan agenda membela kepentingan Melayu.

“Saya lihat dalam mesyuarat parti yang saya hadiri, tidak pernah ada dibincang mengenai agenda Melayu. Ini bermakna hilang perjuangan Melayu, maknanya hilanglah perjuangan agama sendiri,” katanya.

Rais berkata beliau tidak boleh mengulas mengenai mesyuarat PKR yang dihadiri Mat Taib, tetapi berkata kepentingan orang Melayu adalah sesuatu yang sudah pun wujud dalam perlembagaan PH.

“Saya rasa beliau ada masalah bahasa seperti mana dialaminya di Australia dulu. Dulu dia tidak faham bahasa Inggeris, sekarang saya tak pasti sama ada dia boleh baca Bahasa Melayu kerana perjanjian kami dalam Bahasa Melayu,” kata ketua PPBM Klang itu kepada FMT.

Rais merujuk kes melibatkan Mat Taib pada Disember 1996, ketika ditahan pihak keselamatan di Lapangan Terbang Brisbane, Australia kerana membawa bersamanya tunai dalam matawang ringgit, Singapura dan New Zealand bernilai hampir AS$1 juta tanpa sebarang perisytiharan kastam.

Peraturan Australia mewajibkan wang tunai melebihi nilai A$5,000 diisytiharkan. Dalam perbicaraan mahkamah di Australia, Mat Taib mendakwa beliau faham peraturan itu yang ditulis dalam bahasa Inggeris.

Rais berkata agenda mempertahankan hak orang Melayu, Bahasa Melayu, agama Islam dan kuasa raja Melayu adalah antara kandungan dokumen ditanda tangani PKR, DAP, Amanah dan PPBM, 4 parti yang menganggotai gabungan pembangkang itu yang bercadang bertanding pilihan raya umum (PRU) akan datang di bawah satu logo.

Sidang media semalam menampilkan Mat Taib sebelum ini disebut-sebut sebagai sesuatu pengumuman penting, mengundang pelbagai spekulasi termasuk kemungkinan pembubaran Dewan Rakyat bagi memberi laluan kepada PRU.

Rais mempersoalkan tindakan Umno menggembar gemburkan sidang media itu.

“Adalah suatu malapetaka perhubungan awam untuk menghebohkan tindakan seorang ahli politik berpindah randah menyertai semula Umno,” katanya, sambil berkata Najib sebelum ini turut terlibat dalam “malapetaka” sama apabila menghebohkan kunjungannya ke White House baru-baru ini.

“Saya tertanya-tanya apa yang dilakukan penasihat Najib,” kata Rais, sambil menawarkan dirinya membantu Najib dalam soal perhubungan awam.

Bekas MB Selangor Muhammad Muhd Taib kembali sertai Umno

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.