Usahawan wanita pecah tradisi ketuai Persatuan Bola Sepak Kelantan

Usahawan wanita pecah tradisi ketuai Persatuan Bola Sepak Kelantan

Pengiraan undi bagi jawatan nombor satu itu terpaksa dilakukan 2 kali selepas seorang calon presiden, Muhammad Nasir Hamzah tidak berpuas hati ketika pengiraan kali pertama dilakukan.

Bibi-Ramjani
KOTA BHARU: Usahawan wanita, Bibi Ramjani Ilias Khan memecah tradisi bola sepak Kelantan, apabila dipilih sebagai wanita pertama menerajui Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sejak ditubuhkan pada 1946.

Beliau merupakan wanita ke-2 di negara ini yang dilantik sebagai presiden persatuan bola sepak, selepas pelantikan Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah sebagai presiden Johor Darul Ta’zim (JDT), Julai tahun lepas.

Timbalan Presiden Kafa, Datuk Seri Afandi Hamzah ketika mengumumkan pelantikan Bibi Ramjani berkata, usahawan wanita itu akan memimpin persatuan itu bagi penggal 2017 hingga 2021.

Afandi berkata, pengiraan undi bagi jawatan nombor satu itu terpaksa dilakukan sebanyak 2 kali selepas seorang calon presiden, Datuk Muhammad Nasir Hamzah yang juga naib presiden, tidak berpuas hati ketika pengiraan kali pertama dilakukan.

“Pada pengiraan kali pertama, Bibi Ramjani mendapat 32 undi daripada Persatuan Bola Sepak Jajahan, manakala Nasir pula mendapat 19 undi sehingga menyebabkan beliau menentang pengiraan tersebut.

“Bagaimanapun pada kiraan kali ke-2, Bibi Ramjani kekal mendapat 32 undi, manakala Nasir hanya menerima 16 undi,” katanya selepas Kongres Kafa Kali ke-63 malam ini.

Kongres tersebut berlangsung pada jam 3 petang tadi dan berakhir kira-kira 9.15 malam ini.

Dalam pada itu, Afandi berjaya mempertahankan jawatannya sebagai timbalan presiden Kafa, selepas memperoleh 39 undi, sekali gus menewaskan pencabarnya, Datuk Rosmadi Ismail yang sebelum ini merupakan naib presiden yang mendapat 27 undi.

Beliau berkata, jawatan naib presiden pula dimenangi Datuk Aizuddin Nik Abdul (39 undi), Nik Pakheruddin Nik Abdul Kadir (27 undi) dan Datuk Nik Izani Nik Ibrahim (21 undi), manakala 2 calon lain, Azman Ibrahim dan Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz menarik diri di saat-saat akhir sebelum pengundian bermula.

Katanya, selain itu, 10 muka baharu turut dipilih sebagai exco eksekutif Kafa, iaitu Datuk Mohd Rowi Dollah (51 undi), Wan Rakemi Wan Zahari (42 undi), Nubli Ab Latiff (40 undi), Datuk Shaari Mat Husin (37 undi), Zulkifli Omar (37 undi), Akmal Ahmad Tabarani (33 undi), Mohammad Ausri Husin (29 undi), Azrul Mohd Zawawi (28 undi), Mohamed Fareez Nor Amran (26 undi) dan Datuk Azam Ismail (24 undi).

Bibi Ramjani ketika ditemui pemberita berharap penyokong Kelantan memberi sedikit masa untuk beliau menstruktur semula Kafa dan pasukan “The Red Warriors” agar Kelantan kembali menjadi antara gergasi bola sepak negara yang digeruni.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Jajahan yang memberi mandat kepada beliau untuk mengemudi Kafa bagi penggal tersebut.

Bibi Ramjani sebelum ini dilaporkan akan membawa masuk penajaan 3 syarikat multinasional untuk mengukuhkan kedudukan kewangan Kafa, jika dipilih sebagai presiden persatuan tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.