Pusat tahfiz: Anwar gesa kerajaan ambil langkah lebih serius

Pusat tahfiz: Anwar gesa kerajaan ambil langkah lebih serius

Kata Anwar, penangkapan 7 suspek yang dipercayai terlibat menyebabkan kebakaran diharap akan dapat merungkai bagaimana kejadian ini boleh terjadi.

anwar-tahfiz
PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan mengambil langkah-langkah lebih serius dan menyeluruh bagi menjamin aspek keselamatan pusat-pusat tahfiz di seluruh susulan tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang meragut 23 nyawa Khamis lalu.

Kata beliau, memandangkan ia adalah kejadian ke-212 melibatkan maahad tahfiz dari 2015 hingga kini, kerajaan perlu mengambil langkah lebih serius termasuk dengan mengumumkan jumlah maahad tahfiz yang tidak berdaftar dengan agensi bertanggungjawab, yang beroperasi di premis-premis tanpa permit PBT atau kelulusan bomba dan langkah-langkah yang akan diambil untuk memastikan kejadian seperti itu tidak berulang.

“Saya teramat sugul menerima berita kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang meragut nyawa 21 pelajar dan 2 guru pada 14 September lalu. Saya ingin merakamkan ucapan takziah buat semua keluarga yang terkesan akibat tragedi ini.

“Penangkapan 7 suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian kebakaran tersebut diharap akan dapat merungkai bagaimana kejadian ini boleh terjadi,” kata beliau menerusi kenyataan media dikeluarkan hari ini.

Tragedi melibatkan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah itu dilaporkan paling buruk dalam tempoh 3 dekad ini.

Ketua UmumPKR itu berkata, walaupun dipercayai wujudnya unsur khianat, namun piawaian keselamatan wajib ditepati.

“Kita tidak mampu cuai, lebih-lebih lagi kerana melibatkan nyawa dan masa depan anak-anak kita,” katanya.

Pada masa yang sama, kata Anwar, beliau menerima baik usaha kerajaan negeri Selangor untuk melaksanakan audit tahap keselamatan maahad-maahad tahfiz di seluruh negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.