
“Beliau juga sudah lama dalam pembangkang, tentu ada pengalaman pahit beliau dalam pembangkang yang boleh dikongsi dan dimanfaatkan, sekaligus dapat memperkukuhkan strategi Umno Selangor,” kata Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan ketika dihubungi FMT hari ini.
Beliau mengulas pengumuman bekas menteri besar Selangor itu kembali ke pangkuan Umno, selepas menyedari perjuangan parti pembangkang, khususnya PKR sia-sia.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam sidang media tergempar berkata, Muhammad yang lebih dikenali sebagai Mat Taib kembali kepada Umno dengan ikhlas tanpa mengemukakan sebarang tuntutan jawatan kerana mahu berjuang bagi menjamin kemenangan Umno dan Barisan Nasional pada PRU14.
Sementara itu, Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, kemasukan Muhammad dalam Umno memberi nafas baru kepada parti itu untuk merampas Selangor pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Beliau menyuarakan keyakinan itu memandangkan kerajaan Selagor kini dalam keadaan “nazak”.
“Saya rasa kemasukan Muhammad Taib satu kekuatan baru bagi kita, untuk tegakkan perjuangan bagi memastikan PRU14, Selangor akan kita tawan semula dari kerajaan pakatan yang cacamarba hari ini.
“Saya percaya Muhammad Taib akan menaikkan semangat kami di Selangor,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Umno di Menara Dato Onn, petang ini.