
William berkata ada percanggahan pandangan antara PH dan PKR mengenai kerjasama dengan PAS.
“Majlis presiden PH berkata mereka tidak akan bekerjasama dengan PAS. Kemudian Anwar kata PKR akan teruskan rundingan dengan PAS,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di Selayang hari ini.
Anwar selaku ketua umum PKR mengeluarkan kenyataan menyatakan kesediaan menerima idea mengadakan kongres khas membincangkan kerjasama parti itu dengan PAS pada pilihan raya umum ke-14.
William mengingatkan PH dan PKR supaya mendengar suara akar umbi sebelum membuat keputusan mengenai kerjasama dengan PAS.
Beliau berkata mesej yang disampaikan akar umbi melalui media menunjukkan bantahan kepada meneruskan rundingan dengan parti Islam itu.
“Ahli parti yang akan tentukan pada hari pilihan raya nanti. Jadi lebih baik PH dan PKR tahu sekarang daripada dikecewakan pada hari pilihan raya.
“Apabila orang mahu tunjukkan kekecewaan mereka mengenai sesuatu, sama ada mereka undi menentang kita atau mereka tidak keluar mengundi,” katanya.
William tidak menolak idea menganjurkan kongres khas untuk membincangkan isu itu tetapi berkata parti mungkin tidak mempunyai masa yang cukup untuk menganjurkannya.
“Dalam dunia yang sempurna, memang bagus adakan kongres khas mengenai isu itu. Tetapi kita tidak cukup masa kerana kita tidak tahu bila PRU-14 akan diadakan,” katanya.
William bulan lepas meletakkan jawatan daripada biro politik PKR, lantaran kecewa dengan rundingan berterusan PKR dengan PAS.
William berkata beliau tidak akan bertanding pada pilihan raya nanti tetapi akan kekal sebagai ahli parti.
“Kita mahu selamatkan Malaysia. Sudah tentu, penting untuk kita dengar suara akar umbi. PKR tidak boleh selamatkan Malaysia berseorangan, jadi kamu perlu dengar suara PH dan suara rakyat,” tambahnya.