Menteri: Pelan asal tak sama dengan reka bentuk sekolah tahfiz

Menteri: Pelan asal tak sama dengan reka bentuk sekolah tahfiz

Noh Omar berkata, Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung mungkin tidak dikenakan tindakan kerana mereka sudah cukup menderita akibat kebakaran pagi tadi yang mengorbankan lebih 24 pelajar dan gurunya.

noh-omar
KUALA LUMPUR: Pelan bangunan yang dikemukakan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung untuk permohonan mendapat kelulusan kebakaran, berbeza dengan reka bentuk sebenar sekolah itu, kata Tan Sri Noh Omar.

Menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan itu bagaimanapun berkata, sekolah itu mungkin tidak akan dikenakan tindakan disebabkan penderitaan yang dialami mereka ketika ini.

“Pihak bomba telah menerima borang permohonan arkitek, pelan architectural (seni bina) kita dah terima. Tetapi, saya ditunjukkan tadi pelan asal yang dia buat memang konsep terbuka, ertinya di tingkat 3 terbuka dan ada 2 tangga keselamatan dan tidak ada dinding.

“Namun, bomba telah mengesahkan kita belum lagi memberikan kelulusan CCC (sijil perakuan siap dan pematuhan), tetapi tahfiz ini sudahpun beroperasi,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

Beliau berkata, angka korban akibat kebakaran di pusat tahfiz itu kini meningkat kepada 25 orang, selepas seorang pelajarnya didapati hilang dari Hospital Kuala Lumpur.

Sementara itu, Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Mohd Zahid Mahmood menjelaskan mereka berpindah ke bangunan 3 tingkat terbabit sejak 7 bulan lalu.

Beliau yang juga presiden Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (Pinta) berkata, bangunan asal milik sekolah itu yang terletak berhampiran tempat kejadian, sedang diubah suai dan akan siap tidak lama lagi.

Terdahulu, Timbalan Ketua Pengarah Bomba, Datuk Saimon Jahid dilaporkan berkata, 22 pelajar dan 2 guru maut dalam kebakaran di sekolah tahfiz itu yang disyaki berpunca daripada ubat nyamuk atau litar pintas.

Katanya, semua mangsa maut kerana jeriji tingkap dikunci dan hasil pemeriksaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur mendapati sekolah tahfiz itu baru mengemukakan permohonan untuk kelulusan dari segi keselamatan kebakaran bangunan itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh pula dilaporkan berkata, semua 24 mangsa korban ditemui dalam keadaan rentung dan bertindih di tingkat teratas pusat tahfiz terbabit yang hanya mempunyai sebuah pintu keluar masuk.

Ubat nyamuk, litar pintas mungkin punca kebakaran sekolah tahfiz di Keramat

Lebih 20 pelajar maut dalam kebakaran sekolah tahfiz di Keramat

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.