PKR mahu penjelasan projek DUKE yang tidak berkesudahan

PKR mahu penjelasan projek DUKE yang tidak berkesudahan

Jalan raya itu baru sahaja dinaik taraf, kata bendahari agung PKR.

Tan-Yen-Kew-duke
PETALING JAYA: Pihak berkuasa digesa memberi penjelasan mengenai tindakan meroboh sebahagian Jalan Genting Klang walaupun ia baru dinaik taraf bagi membina Lebuhraya Duta Ulu-Kelang (DUKE).

Bendahari Agung PKR Datin Paduka Dr Tan Yen Kew berkata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz perlu menjawab mengapa perlu dirobohkan jalan raya itu yang baru dibina pada 2013 pada harga RM39.6 juta.

“Kedua-dua projek ini termasuk di dalam Pelan Struktur Kuala Lumpur, mengapa perkara seperti ini boleh berlaku? Mengapa tiada koordinasi antara keduanya,” soalnya.

Pada 2015, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan projek melebarkan Jalan Genting Klang dari Jalan 1/27A hingga ke Persimpangan Lingkaran Tengah II untuk meningkatkan kapasiti aliran lalulintas dan memberikan pemanduan lebih lancar kepada warga kota.

Ia menambah jalan 4 lorong kepada 6 lorong dan siap sepenuhnya pada Julai 2015.

Tan berkata, pengguna jalan raya yang melalui kesulitan ketika pembinaan jalan itu kini kecewa kerana jalan itu dirobohkan sekali lagi hanya 2 tahun selepas ianya dinaik taraf.

“Saya mendapati kerja-kerja pembinaan DUKE 3 yang sedang dijalankan di Wangsa Maju dengan laluan sepanjang 29.8 KM itu dijangka akan siap hanya pada tahun 2020.

“Ini bermakna pengguna jalan raya ini harus menderita akibat kesesakan lalu lintas yang terpaksa mereka hadapi selama hampir 7 tahun, iaitu dari 2013 hingga 2020,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.