
Menurut pelayan, Salmi Che Manan, 40, tugas menyediakan juadah untuk santapan Almarhum sangat ringkas kerana baginda bukanlah seorang yang cerewet.
“Almarhum tuanku tak pernah nak kata sedap ka, tak sedap ka, tapi Almarhum tuanku memang suka masakan kampung dan gulai ikan kering tu kegemaran Almarhum tuanku.
“Cuma kalau masakan tu macam pedas sikit, Almarhum tuanku akan kata ‘bagi kurang pedas sikit, tak berapa sedap lidah’ itu ayat biasa Almarhum guna,” katanya kepada Bernama di Istana Anak Bukit hari ini.
Pemuda ini yang tidak banyak berbicara ketika ditemu ramah berkata, selain menjaga makan minum Almarhum, beliau juga bertanggungjawab menyediakan persalinan harian baginda.
“Kalau persalinan untuk majlis-majlis rasmi yang perlu ikut protokol, ada orang lain yang akan sediakan,” katanya yang berkhidmat untuk Almarhum Sultan Kedah sejak 12 tahun lalu.
Salmi turut menyifatkan baginda seorang yang sangat mesra, mudah diajak berbual dan sering bergurau dengan orang di sekeliling.
“Almarhum tak pernah marah, kalau marah pun kita tak tau nak beza sama ada Almarhum marah ka apa, tapi kalau ada yang tak kena, Almarhum akan tegur dengan baik,” katanya.
Mengimbau kenangan bagaimana beliau mendapat kerja di Istana Anak Bukit, Salmi berkata, segalanya bermula dengan bola sepak.
Beliau berkata, baginda sangat suka sukan itu dan Salmi ditawarkan bekerja di istana kerana beliau pemain bola sepak yang baik.
“Saya bermain untuk pasukan bola sepak istana. Kami selalu sertai perlawanan persahabatan melalui lawatan ke istana-istana dan lawan dengan pasukan bola sepak istana lain,” katanya.
Beliau berkata, kemangkatan baginda pasti memberi kesan sangat besar kepadanya kerana keperibadian Almarhum yang sangat mulia dan disenangi rakyat jelata.