Songkok tinggi, baju Melayu Merah ikrar tentang Umno

Songkok tinggi, baju Melayu Merah ikrar tentang Umno

Kira-kira 5,000 hadirin berikrar menyelamatkan negara daripada pentadbiran Datuk Seri Najib Razak sempena ulangtahun pertama PPBM malam tadi.

mahathir-mohamad-ppbm-ulangtahun
MUAR: Bersongkok tinggi, baju Melayu dan berkain sampin merah memperlihatkan semangat perjuangan Melayu yang sinonim dengan Umno oleh kira-kira 5,000 hadirin di Dewan Y Square Connexion malam tadi.

Bezanya tidak kelihatan “keris” yang menjadi lambang Umno, sebaliknya deretan bendera “bunga raya” PPBM tersusun di sepanjang jalan pintasan Muar-Bakri.

Tun Dr Mahathir Mohamad yang sebelum ini merupakan presiden Umno kini berucap atas kapasiti pengerusi PPBM menggesa agar parti lama ditumbangkan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Laungan “Hidup Umno” dan nyanyian lagu “Bersatu Bersedia, Berkhidmat” di dalam dewan, digantikan dengan laungan “Hidup Bersatu” dan lagu “Perjuangan Kita” yang merupakan lagu rasmi PPBM.

Menjadi parti tunggal untuk Bumiputera dalam blok pembangkang Pakatan Harapan, Dr Mahathir menyeru agar ahli-ahli PPBM bersamanya memulihkan negara daripada “dibinasakan” Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Kami ikrar akan pulih semula negara tercinta ini untuk rakyat semata-mata.

“Kami seru pribumi dan bukan pribumi bersatu untuk jayakan hasrat kita semua,” kata Dr Mahathir dalam ucapannya malam tadi.

Hampir 30 buah bas di sepanjang jalan menunjukkan berapa ramai ahli PPBM dari seluruh negara yang menghadiri sambutan ulangtahun pertama parti itu.

“Pada hari ini, pada hari genapnya setahun kelahiran parti bertuah ini, pada perhimpunan ini, kami yang hadir, kami yang tidak dapat hadir, kami ahli PPBM berikrar akan perjuangkan habis-habisan bagi menyelamat negara ini dari pemerintahan penjenayah kleptokrat Najib, Umno dan BN,” kata Dr Mahathir dalam ucapannya.

Sambutan itu kemudiannya berakhir dengan upacara memotong pulut kuning sebagai simbolik usia setahun PPBM ditubuhkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.