
Ia susulan keputusan panel 3 hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Raus Sharif hari ini membenarkan rayuan oleh Putrajaya.
Peguam, K Shanmuga yang mewakili pasangan Islam itu dan anak lelaki mereka membantah permohonan kebenaran dengan alasan Seksyen 13 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) terpakai kepada semua kanak-kanak tidak sah taraf tanpa mengira kaum atau agama.
Bagaimanapun, Raus yang bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan hakim Datuk Aziah Ali berkata, mahkamah tertinggi akan memutuskan perkara itu.
Tiga soalan yang akan dijawab panel hakim semasa rayuan itu adalah:
* Sama ada dalam tafsiran sebenar di bawah perundangan Islam, istilah “bin” atau “binti” atas nama orang Islam merujuk kepada hubungan bapa;
* Sama ada mahkamah sivil boleh menentukan persoalan mengenai kesahihan kanak-kanak Islam dalam penamaan dan hubungan bapa;
* Sama ada Seksyen 13A BDRA terpakai untuk pendaftaran kelahiran kanak-kanak Islam yang membolehkan mereka dinamakan dengan individu yang mengakui dirinya bapa mereka.
Mahkamah itu turut membenarkan Majlis Agama Islam Selangor dan Wilayah Persekutuan untuk mengadakan arahan memerhati.
Pada 21 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Majlis Agama Islam Johor untuk menjadi pencelah, bermakna mereka boleh membuat penghujahan kepadahakim.
Permohonan itu dibenarkan kerana ibu bapa terbabit, yang identiti mereka dirahsiakan, berasal dari Johor.
Peguam, Datuk Sulaiman Abdullah mewakili Majlis Agama Islam Johor, manakala Suzana Atan wakili Putrajaya.
JPN dan ketua pengarahnya serta kerajaan persekutuan memfailkan permohonan merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan ke atas pasangan itu dan anak mereka, yang memfailkan semakan kehakiman untuk memaksa ketua pengarah JPN menggantikan “bin Abdullah” dengan nama bapa kanak-kanak itu dalam sijil kelahirannya.
Dalam penghakiman bertulis yang dikeluarkan 25 Julai lalu, Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli berkata, ketua pengarah JPN tidak terikat kepada fatwa dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam menentukan nama bapa seorang kanak-kanak Islam yang tidak sah taraf.
Mahkamah itu berkata, bidang kuasa ketua pengarah JPN bersifat sivil dan terhad dalam menentukan sama ada ibu bapa kanak-kanak itu memenuhi syarat di bawah BDRA, yang merangkumi semua kanak-kanak tidak sah taraf, tidak kira Islam atau bukan Islam.
Mahkamah itu memutuskan fatwa bukan perkara wajib diterima undang-undang dan tidak boleh dijadikan asas undang-undang oleh ketua pengarah JPN dalam menentukan nama bapa seseorang anak yang tidak sah taraf mengikut Seksyen 13A (2) BDRA.
Rahman berkata, ketua pengarah JPN bertindak tidak rasional apabila jabatan itu mendaftarkan kanak-kanak terbabit berbinkan “Abdullah”, bertentangan hasrat ibunya.