Lelaki didera isteri juga perlu bantuan, kata NGO

Lelaki didera isteri juga perlu bantuan, kata NGO

Ramai lelaki enggan tampil dan melaporkan penderaan yang dilakukan isteri mereka.

male-abuse
PETALING JAYA: Lelaki patut membela golongan sendiri, terutamanya mangsa keganasan rumah tangga yang mendiamkan diri.

Presiden Kumpulan Daya Tindakan Wanita Sabah (Sawo), Winnie Yee berkata, sesetengah lelaki masih enggan tampil membuat laporan, walaupun kes penderaan domestik ke atas suami meningkat.

“Lelaki patut tampil menyelesaikan isu ini dan menyokong mereka yang memerlukan bantuan.

“Sebagaimana organisasi wanita seperti kami membantu wanita lain, lelaki juga patut berbuat demikian,” katanya kepada FMT.

Yee berkata, tanpa mengambil kira jantina, semua orang perlu berperikemanusiaan dan bertanggungjawab membantu mereka yang memerlukan.

April lalu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, ada peningkatan dalam kes keganasan rumah tangga terhadap lelaki.

Antara 2014 hingga 2016, terdapat 15,617 kes keganasan domestik dilaporkan dan daripada jumlah itu, 26% membabitkan suami.

Sementara itu, pensyarah undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Prof Madya Shamrahayu Abdul Aziz ketika dihubungi mengulangi gesaannya supaya “Jabatan Hal Ehwal Lelaki” ditubuhkan di bawah kementerian berkaitan.

Beliau berkata, itu adalah permulaan baik untuk menyelesaikan keganasan rumah tangga terhadap lelaki.

Katanya, jabatan itu turut akan mempunyai kemampuan untuk memperkasakan mangsa lelaki suatu hari nanti.

“Lelaki patut mengetuai keluarga mereka, bukan dikawal wanita. Memperkasakan lelaki akan menjadikan mereka ketua keluarga lebih baik,” katanya.

Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) bagaimanapun berkata, keganasan terhadap wanita lebih serius.

“Keganasan terhadap wanita berlaku secara meluas akibat sikap masyarakat yang mengekalkan ketidaksamaan jantina.

“Dalam kes keganasan domestik, 47% daripada suspek adalah suami atau bekas suami, manakala hanya 1% suspek ialah isteri, dan ini berdasarkan laporan polis difailkan pada 2015,” kata jurucakap WAO dalam pesanan teks kepada FMT.

Beliau berkata, baki 52% kes penderaan melibatkan ahli keluarga lain.

Afiqah Farieza menyumbang kepada laporan ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.