Desmond Tutu gesa Suu Kyi bantu Rohingya

Desmond Tutu gesa Suu Kyi bantu Rohingya

Dalam surat terbukanya kepada ikon demokrasi Myanmar, bekas paderi terkenal itu berkata, beliau melanggar ikrar mendiamkan diri mengenai hal ehwal awam kerana terlalu sedih melihat kesengsaraan dialami etnik Rohingya.

Desmond-tutu
JOHANNESBURG: Bekas ketua biskop Afrika Selatan, Desmond Tutu menggesa pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi campur tangan untuk membantu etnik Rohingya Islam yang dizalimi tentera kerajaan.

Pengkritik barat menuduh Suu Kyi mendiamkan diri dalam operasi ketenteraan ke atas minoriti Rohingya sehingga memaksa mereka melarikan diri ke Bangladesh.

Dalam surat terbukanya kepada Suu Kyi, Tutu berkata, “Saya sudah tua, uzur dan bersara secara rasmi, tetapi saya melanggar ikrar mendiamkan diri mengenai hal ehwal awam kerana terlalu sedih melihat kesengsaraan minoriti Islam di negara anda, orang Rohingya.”

“Jika modal politik kamu untuk ke jawatan tertinggi di Myanmar adalah mendiamkan diri, maka ia sememangnya sangat melampau…Kami mendoakan anda bersuara demi keadilan, hak asasi manusia dan perpaduan rakyat anda. Kami mendoakan anda akan mencampur tangan,” tulis Tutu yang juga pemenang Anugerah Keamanan Nobel.

Penyokong anti-aparteid yang berusia 85 tahun itu, menghidap kanser prostat hampir 2 dekad dan tidak lagi memberi kenyataan mengenai hal ehwal awam.

Seramai 1.1 juta etnik Rohingya di Myanmar mengadu ditindas kerajaan sejak sekian lama dan dianggap pendatang asing dari Bangladesh di negara bermajoriti penganut Buddha itu.

“Kita perlu menjaga rakyat kita, kita perlu menjaga semua orang yang tinggal dalam negara kita, tidak kira mereka warganegara atau sebaliknya,” kata Suu Kyi pada Khamis kepada Asian News International, rakan kongsi Reuters Television di India.

Suu Kyi yang memenangi Anugerah Keamanan Nobel pada 1991 atas perjuangannya terhadap demokrasi, bagaimanapun tidak menyatakan secara khusus tindakan minoriti Rohingya melarikan diri beramai-ramai.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.